NEW YORK – Presiden Venezuela, Nicolás Maduro, dilaporkan telah dibawa ke Amerika Syarikat untuk berdepan pertuduhan jenayah selepas ditahan dalam satu operasi besar-besaran di Venezuela, ketika Presiden AS, Donald Trump, menyatakan hasrat untuk 'mentadbir' negara itu dan mengambil alih kawalan rizab minyaknya.
Maduro dan isterinya, Cilia Flores, kini berada di New York City dan ditahan di Pusat Tahanan Metropolitan (MDC) di Brooklyn.
Beliau dijadualkan dihadapkan ke Mahkamah Persekutuan Manhattan bagi menghadapi pertuduhan berkaitan dadah dan senjata.
Trump dalam kenyataannya berkata, Amerika Syarikat akan 'menguruskan negara itu' sehingga satu 'peralihan yang wajar dan adil' dapat dilaksanakan.
Beliau turut menyatakan AS akan mengambil alih rizab minyak Venezuela yang besar, dengan melibatkan syarikat-syarikat Amerika untuk memulihkan industri minyak negara itu yang didakwa lumpuh, selain menggunakan pasukan tentera AS bagi tujuan keselamatan.
Bagaimanapun, masa depan politik Venezuela kekal tidak menentu.
Trump sebelum ini memaklumkan bahawa Washington sedang berurusan dengan Naib Presiden Venezuela, Delcy Rodríguez yang menuntut pembebasan Maduro dan menegaskan beliau masih merupakan presiden sah negara itu.
Dalam perkembangan berkaitan, pemimpin pembangkang Venezuela, María Corina Machado, menyeru agar seorang calon pembangkang mengambil alih tampuk pemerintahan.
Penahanan Maduro dilaporkan disambut dengan perayaan oleh komuniti Venezuela di Florida Selatan, namun menimbulkan kebimbangan dan keresahan di Caracas.
Naib Presiden tegaskan Maduro Presiden sah
Sementara itu, Delcy Rodríguez menegaskan bahawa Nicolás Maduro adalah 'satu-satunya Presiden Venezuela”' susulan penahanannya oleh tentera Amerika Syarikat awal Sabtu.
Dalam ucapan lantang yang disiarkan dari Caracas, Rodríguez menyeru rakyat Venezuela agar tidak tunduk kepada tekanan luar.
“Kami tidak akan menjadi hamba sekali lagi. Venezuela tidak akan kembali menjadi tanah jajahan,” katanya sambil mengecam apa yang disifatkannya sebagai pencerobohan Amerika Syarikat.
Rodríguez turut menegaskan bahawa kerajaan Venezuela hanya akan berpandukan kepada arahan Presiden, sambil dikelilingi beberapa tokoh kanan kerajaan termasuk Menteri Dalam Negeri, Diosdado Cabello; Presiden Perhimpunan Kebangsaan, Jorge Rodríguez; serta beberapa pemimpin tertinggi tentera. - Agensi