Selaras seragam sekolah kekang persaingan tidak sihat - PIBKS

Iklan
Cadangan penyelarasan pakaian seragam sekolah disambut baik PIBKS. Gambar kecil: Zainol Abidin

ALOR SETAR - Cadangan penyelarasan pakaian seragam sekolah bukan sahaja berupaya mengurangkan beban kewangan ibu bapa, malah dilihat berkesan mengekang persaingan tidak sihat dalam kalangan pelajar.

Timbalan Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Kebangsaan, Zainol Abidin Mohamad berkata, disebabkan itu pihaknya menyambut baik kajian dijalankan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tujuan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Prinsip asas pendidikan ialah kesaksamaan, kesederhanaan dan fokus kepada pembelajaran, bukan perbezaan penampilan.

Zainol Abidin

Iklan

"Matlamat kita bukan sekadar seragam yang sama, tetapi peluang pendidikan yang adil dan bermaruah sekali gus mengembalikan fungsi sekolah sebagai medan pembinaan sahsiah, ilmu dan nilai, bukan pameran gaya.

"Ia juga mampu mengelakkan persaingan tidak sihat dalam kalangan pelajar," katanya dalam kenyataan.

Iklan

Beliau yang juga Pengerusi PIBKS Kedah berkata, sebarang dasar baharu sewajarnya dilaksanakan melalui libat urus agar keputusan yang diambil benar-benar membawa kebaikan kepada pelajar dan tidak menambah tekanan keluarga.

Dalam pada itu, PIBKS berpandangan bahawa pelaksanaannya juga mesti dibuat secara berperingkat, inklusif dan turut mengambil kira pandangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

"Ia juga perlu disesuaikan mengikut iklim, keselesaan dan kesihatan serta realiti sosioekonomi setempat," jelas beliau.

Sebelum ini, media melaporkan, pemakaian pakaian seragam sekolah akan diselaraskan bertujuan tidak membebankan ibu bapa untuk menyediakan keperluan itu.

Pada masa ini, KPM sedang melaksanakan kajian menyeluruh berhubung perkara itu sejak September lalu melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dan aspek berkaitan.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, keputusan akhir hanya diperolehi selepas penelitian rapi dibuat untuk pelaksanaan sesi persekolahan 2027.

Katanya, seragam sekolah dengan pelbagai warna tidak membantu memupuk semangat perpaduan dalam diri anak-anak.

Justeru, keputusan muktamad akan diumumkan menjelang Ogos 2026, manakala pelaksanaan secara berfasa dijangka bermula pada 2027, dimulakan dengan murid Tahun Satu dan pelajar Tingkatan Satu.

Beliau berkata, terdapat sekolah pada masa ini mewajibkan seragam membabitkan tujuh warna, selain pelbagai jenis kemeja-T untuk aktiviti berbeza dan kelengkapan tambahan seperti blazer serta vest.

Keperluan yang berbeza-berbeza itu menurutnya, menyukarkan murid yang berpindah sekolah pada pertengahan tahun dan memberi tekanan kewangan tambahan kepada keluarga.