RAFAH - Bintang ternama Hollywood, Angelina Jolie pada Jumaat melawat kawasan sempadan Rafah di Mesir yang menghubungkan Gaza, bagi meninjau usaha penghantaran bantuan kemanusiaan ke wilayah bergolak itu.
Menurut laporan AFP, Jolie ditemani delegasi Amerika Syarikat (AS) dan disambut oleh beberapa bekas serta pegawai semasa ketika berada di lokasi.
Beliau menyatakan rasa “berbesar hati” dapat bertemu sukarelawan bantuan di sempadan berkenaan.
Seorang sukarelawan Bulan Sabit Merah memaklumkan kepada pemenang Oscar itu bahawa “ribuan lori bantuan masih menunggu” untuk dibenarkan masuk ke Gaza.
Media tempatan melaporkan, kunjungan Jolie – bekas Utusan Khas Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) – bertujuan meninjau keadaan rakyat Palestin yang cedera dan dipindahkan ke Mesir selain melihat proses penghantaran bantuan ke Gaza yang musnah akibat konflik.
Setakat ini, Jolie dan pihak berkuasa Mesir belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai lawatan tersebut.
Sempadan Rafah dijadual dibuka semula di bawah perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak Oktober, namun sehingga kini masih ditutup.
Dalam kenyataan bersama pada Jumaat, Mesir bersama enam negara lain termasuk Arab Saudi menggesa masyarakat antarabangsa mendesak Israel sebagai kuasa pendudukan supaya segera menarik sekatan terhadap kemasukan dan pengagihan bekalan penting ke Gaza.
Awal Disember lalu, Israel mengumumkan sempadan Rafah hanya akan dibuka untuk mereka yang ingin keluar dari Gaza, namun Mesir menafikan ia meluluskan langkah itu dengan segera.
Jolie, antara figura paling ikonik di Hollywood, melepaskan jawatan sebagai Utusan Khas UNHCR pada akhir 2022 selepas lebih 20 tahun berkhidmat, dengan alasan mahu memberi tumpuan kepada isu kemanusiaan yang lebih luas. - Agensi/Awani