Berehat dengan gabungan alam, aktiviti rekreasi

Iklan
Antara aktiviti lasak yang disediakan di Sireh Park.

ISKANDAR PUTERI - Ketenangan alam semula jadi yang digabungkan dengan pelbagai aktiviti rekreasi pastinya menjadi pilihan pengunjung yang mahu berehat sambil menikmati keindahan persekitaran.

Justeru, tidak hairanlah, taman rekreasi, Sireh Park yang berada di Iskandar Puteri, Johor antara destinasi yang semakin mendapat perhatian pengunjung pada hari ini.

Iklan
Iklan

Taman rekreasi berkenaan berkonsepkan pelancongan eko kini menjadi pilihan alternatif penggemar aktiviti lasak kerana lokasinya yang strategik selain mudah diakses.

Aktiviti berbasikal turut disediakan di Sireh Park.

Iklan

Pengunjung, Farah Hanis Md Faris, 25, berkata, dia mengunjungi Sireh Park selepas mengetahuinya melalui media sosial di TikTok dan Instagram.

Dia yang kali pertama berkunjung ke situ berkata, tujuan utama kedatangannya ke Sireh Park adalah untuk berlatih mendaki sebagai persediaan untuk pendakian gunung yang lebih tinggi pada masa akan datang.

Iklan

“Saya sebenarnya sukakan aktiviti lasak seperti mendaki dan buat masa ni banyak tempat yang tutup. Saya dapat tahu Sireh Park tetap beroperasi macam biasa sebab itu saya datang sini.

“Bila sampai ke sini saya dapati kawasan ni memang luas dan sangat sesuai untuk saya berlatih mendaki di sini.

“Selain itu saya lihat kawasan ini juga sesuai untuk dijadikan lokasi percutian atau akviti riadah sekeluarga kerana ada tanah, rumput yang sangat bersesuaian dengan aktiviti grounding,” katanya kepada Sinar Harian.

Pengunjung, Nur Hafizatul Sahar, 25, pula berkata, dia berkunjung ke Sireh Park kerana ia memiliki keunikannya yang tersendiri berbanding pusat-pusat rekreasi lain.

Malah katanya, banyak perbezaannya terutama dari segi kepelbagaian aktiviti yang ditawarkan di sini.

Pengunjung juga boleh cuba menaiki ATV.

“Kebanyakan taman lain hanya menyediakan laluan berjalan kaki atau denai biasa tetapi di sini ada pelbagai aktiviti lasak, jadi ia memberikan lebih pilihan kepada pengunjung.

“Selain itu, saya juga gemar mencuba aktiviti-aktiviti lasak lain seperti menunggang ATV, berkhemah dan lain-lain.

“Secara keseluruhannya, bagi saya tempat ini sangat sesuai kerana selain aktiviti lasak, ia turut menyediakan pelbagai lagi aktiviti yang bersesuaian untuk seisi keluarga. Sekarang pun musim cuti sekolah, memang sesuai sangatlah,” ujarnya.

Aktiviti malam

Sementara itu, kakitangan Sireh Park, Karim Ramlan, 54, berkata, kepelbagaian aktiviti lasak yang menghubungkan manusia dengan alam semula jadi menjadikan Sireh Park sebagai antara lokasi rekreasi yang menawarkan pengalaman berbeza kepada pengunjung.

Katanya, aktiviti di kawasan tersebut bukan sahaja tertumpu pada waktu siang, malah ketika ini turut melibatkan aktiviti yang membolehkan pengunjung menikmati suasana alam sehingga lewat malam.

“Pada waktu pagi pula merupakan tempoh paling aktif dengan kehadiran pengunjung yang datang seawal jam 7.30 pagi hingga sekitar 8.30 pagi atau 9 pagi untuk melakukan aktiviti seperti berjoging dan mendaki. kerana cuaca yang lebih nyaman.

“Tapi sekarang ada juga pengujung yang datang pada waktu malam dan melakukan aktivit di sini.

“Di Sireh Park juga ada perkarangan kompos bagi tujuan pembelajaran, khususnya bagi kanak-kanak sekolah, selain kemudahan e-pembelajaran berkaitan herba dan tanaman,” katanya.