SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di lapan negeri sehingga jam 6 petang ini.
MetMalaysia berkata, kawasan yang diramal terkesan ialah Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang serta Muallim di Perak manakala di Pahang hanya melibatkan Tanah Tinggi Cameron.
Menurut jabatan itu juga, seluruh Melaka, Selangor serta Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) dijangka berdepan hujan lebat.
"Di Negeri Sembilan membabitkan Jelebu, Seremban, Port Dickson dan Rembau.
"Sarawak pula Sri Aman (Lubok Antu), Sarikei (Julau), Sibu (Kanowit), Kapit (Song dan Kapit) serta Limbang.
"Selain itu, di Sabah melibatkan Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort dan Nabawan) manakala Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang dan Kota Kinabalu)," katanya menerusi hantaran di Facebook setakat kemaskini jam 3.25 petang.
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter (mm) per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir bersifat jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.