JAKARTA - Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memaklumkan syarikat swasta berminat untuk membeli timbunan lumpur di kawasan terjejas banjir di wilayah Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat.
Menurutnya, 'urus niaga' itu boleh mempercepatkan usaha memulihkan semula sungai kerana banyak menjadi cetek akibat mendapan lumpur hasil banjir dan tanah runtuh.
"Saya rasa ia idea yang bernas. Ayuh kita laksanakannya," katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa penjualan lumpur tersebut memberikan manfaat kewangan secara langsung kepada kerajaan tempatan.
Prabowo juga menegaskan pemerintah berupaya mengendalikan operasi bencana di wilayah Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat tanpa mengisytiharkan 'bencana nasional'.
"Ramai masih persoalkan keputusan kami. Kita masih ada 35 lagi wilayah yang terselamat dan hanya tiga terkesan bencana itu. Saya tidak melihat status 'bencana nasional' satu keperluan buat masa ini," ujarnya ketika meraikan ketibaan Tahun Baharu 2026 bersama mangsa banjir pada Khamis.
Menurutnya lagi, pemerintah komited sepenuhnya untuk menyalurkan bantuan bencana malah ramai menteri Kabinet sudah dikerahkan untuk memantau kemajuan proses tersebut yang sedang dilaksanakan di ketiga-tiga wilayah terjejas.
Beliau turut memaklumkan pemerintah terbuka untuk menerima sumbangan awam dan swasta untuk menyokong tindak balas di Pulau Sumatera.
"Saya dimaklumkan oleh Gabenor Aceh, Muzakir Manaf (Mualem) bahawa beberapa pihak telah menyatakan minat untuk menyalurkan bantuan.
"Tetapi, sebarang bantuan mesti mengikut mekanisme pengagihan yang jelas dan telus," katanya ketika menghadiri mesyuarat pengurusan bencana di Aceh Tamiang. - Agensi