SETIAP hujung tahun, manusia sibuk menulis azam yang terkandung di dalamnya senarai sasaran, impian, resolusi dan target hidup disusun rapi.
Namun semakin banyak azam ditulis, semakin ramai yang keletihan. Dunia hari ini bukan kekurangan motivasi, tetapi terlebih tekanan.
Kita hidup dalam zaman yang memuja kesempurnaan, namun pada masa yang sama melahirkan generasi yang rapuh dari dalam.
Tahun 2026 menjelma dalam dunia yang masih bergelut dengan luka lama, pasca pandemik, konflik geopolitik, ketidaktentuan ekonomi, perubahan iklim dan krisis kesihatan mental global.
Dalam realiti ini, persoalan penting bukan lagi “Apa azam kita?” tetapi “Bagaimana kita mahu hidup sebagai manusia?”
Manusia, keterbatasan dan ilusi kesempurnaan
Islam sejak awal telah mendidik manusia untuk mengenal hakikat dirinya. Al-Quran tidak pernah menggambarkan manusia sebagai makhluk sempurna. Sebaliknya, manusia digambarkan sebagai lemah, tergesa-gesa, sering lupa dan mudah berputus asa: “Dan manusia itu dijadikan bersifat lemah.” (Surah an-Nisa’: 28)
Namun kelemahan ini bukan cela mutlak. Ia merupakan pintu untuk manusia kembali mengenal Tuhan dan akhirnya mengenal diri sendiri. Masalah dunia moden ialah kelemahan dianggap kegagalan peribadi, bukan fitrah kemanusiaan.
Media sosial, budaya produktiviti melampau dan naratif “kejayaan segera” membentuk ilusi bahawa hidup mesti sentiasa meningkat, menang dan kuat.
Akibatnya, apabila gagal, manusia menyalahkan diri secara kejam. Apabila letih, mereka memaksa diri terus berjalan. Apabila jiwa terluka, mereka menyembunyikannya di balik senyuman dan pencapaian.
Sedangkan Rasulullah SAW sendiri mengiktiraf rapuhnya manusia: “Setiap anak Adam itu banyak melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang bersalah ialah mereka yang bertaubat.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Keterbatasan sebagai jambatan, bukan penghalang
Antara kesalahan besar pemikiran moden ialah melihat kekurangan sebagai musuh. Dalam kerangka Islam, keterbatasan merupakan tarbiah Ilahi. Ia mendidik manusia agar tidak bersandar sepenuhnya pada diri sendiri.
Abu Hamid al-Ghazali menegaskan bahawa kesedaran terhadap kelemahan diri merupakan permulaan kepada makrifat. Selagi manusia merasa cukup dengan dirinya, selagi itulah hatinya tertutup daripada cahaya Ilahi.
Kesempurnaan yang diburu tanpa Tuhan akhirnya melahirkan kehampaan. Begitu juga pandangan Ibn Qayyim al-Jawziyyah yang menyatakan bahawa hati yang paling hampir dengan ALLAH ialah hati yang hancur kerana sedar dirinya tidak memiliki apa-apa kecuali rahmat-Nya.
Dalam dunia hari ini, kita melihat bagaimana manusia berlumba membina identiti, kerjaya, status, pengaruh dan pencapaian, namun runtuh apabila satu sahaja daripadanya ditarik.
Di sinilah keterbatasan menjadi jambatan, ia memaksa manusia berhenti, merenung dan kembali kepada asas.
Penjaga jiwa dalam dunia yang bising
Islam tidak membiarkan manusia berjalan sendirian. Keluarga, pasangan, anak-anak dan sahabat bukan sekadar pelengkap sosial, tetapi pelindung psikospiritual.
Dalam realiti kehidupan Malaysia hari ini, tekanan kos sara hidup, tuntutan kerja dan perubahan gaya hidup menyebabkan hubungan menjadi semakin dingin.
Al-Quran mengingatkan: “Dan Kami jadikan di antara kamu rasa kasih sayang dan rahmat.” (Surah ar-Rum: 21)
Kasih sayang bukan slogan. Ia merupakan ruang selamat untuk manusia yang letih. Dalam dunia yang menjerit “jadi lebih baik”, keluarga dan sahabat berbisik: “Cukup jadi manusia.”
Azam 2026: Menjaga keseimbangan
Azam Tahun Baharu 2026 tidak seharusnya sekadar senarai kejayaan luaran. Dunia sudah terlalu penuh dengan manusia yang “berjaya” tetapi kosong.
Azam paling radikal hari ini ialah azam untuk hidup dengan sedar, seimbang dan berbelas ihsan terhadap diri.
Sarjana psikologi kontemporari seperti Viktor Frankl mengingatkan bahawa manusia mampu bertahan dalam penderitaan bukan kerana kekuatan fizikal, tetapi kerana makna.
Islam telah lama mengajar hal ini bahawa hidup bukan tentang mengelak ujian, tetapi menemukan makna di dalamnya.
Merayakan ketidaksempurnaan sebagai jalan takwa
Di dunia yang memuja imej, Islam mengajar kejujuran. Di dunia yang memuja kekuatan, Islam memuliakan tawakkal. Di dunia yang menekan manusia agar sentiasa “cukup”, Islam membenarkan manusia menangis, berhenti dan kembali.
Tahun 2026 tidak memerlukan manusia yang lebih keras terhadap diri, tetapi manusia yang lebih jujur. Dunia tidak kekurangan orang hebat, tetapi kekurangan insan yang tenang.
Jika azam kita tahun ini hanya satu, biarlah ia begini: Untuk hidup sebagai manusia yang berdamai dengan keterbatasan, menjaga jiwa dan melangkah dengan Tuhan.
***Penulis, PROF MADYA DR ZAIZUL AB RAHMAN merupakan Pensyarah Kanan Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia