JOHANNESBURG - Sekurang-kurangnya 41 pemuda di Afrika Selatan meninggal dunia selepas berkhatan untuk tempoh November hingga Disember lalu.
Menteri Hal Ehwal Tradisional, Velenkosini Hlabisa berkata, kematian itu berpunca daripada kecuaian 'sekolah sunat' dan kegagalan ibu bapa mematuhi piawaian keselamatan serta nasihat perubatan.
"Ada yang terpengaruh dengan saranan supaya tidak minum air atas alasan supaya cepat sembuh," katanya.
Menurutnya, seramai 41 individu telah diberkas termasuk ibu bapa yang menghantar anak mereka tidak mengikut had umur dibenarkan undang-undang negara berkenaan.
Hanya remaja 16 tahun dan ke atas diberi kebenaran untuk memasuki 'sekolah berkhatan' tersebut.
Difahamkan, kerajaan terpaksa campur tangan selepas jumlah kematian akibat berkhatan semakin meningkat pada setiap tahun.
Pemerintah turut memperkenalkan undang-undang bagi memastikan pusat bersunat berdaftar dengan pihak berkuasa, namun ia tidak berjaya mengekang kemunculan 'sekolah berkhatan haram'.
Amalan itu biasanya dilakukan pada cuti sekolah ketika musim sejuk (Jun-Julai) dan musim panas (November-Disember). - Agensi