JAM baru melepasi tengah malam. Bunga api sudah padam, ucapan selamat tahun baharu masih berselerak di skrin kecil telefon, dan dunia kelihatan seperti biasa.
Namun 2026 tidak bermula dengan rasa lega sebaiknya ragu. Bukan ragu terhadap masa depan, tetapi ragu terhadap segala yang bakal didengar.
Kita masuk tahun baharu dalam dunia yang tidak lagi senyap walau sesaat. Setiap peristiwa dan tragedi datang pakej bersama analisis segera dan separa masak.
Setiap krisis disertai pendapat, reaksi, penjelasan dan bantahan. Dunia tidak menunggu fakta matang; ia menuntut penjelasan serta-merta.
Lebih setengah abad lalu, seorang sarjana Kanada telah memberi amaran tentang masa depan seperti ini.
Marshall McLuhan tidak bercakap tentang telefon pintar, media sosial atau kecerdasan buatan.
Namun beliau memahami sesuatu yang lebih fundamental: medium komunikasi akan mengubah cara manusia berfikir sebelum manusia sempat menyedarinya.
McLuhan pernah menegaskan bahawa apabila medium berubah, struktur kesedaran manusia turut berubah. Pada 2026, ramalan itu terasa hampir literal.
Kita menikmati 2026 dalam dunia yang sentiasa “hidup”. Berita tidak pernah berhenti, pendapat tidak pernah reda, perhatian tidak pernah diberi peluang untuk berehat juga perdebatan yang tidak mahu mengangkat kebijaksanaan.
Akibatnya, masyarakat menjadi terlalu pantas bertindak balas kepada krisis tetapi perlahan untuk memahami.
Masyarat tahu apa yang berlaku, tetapi tidak pasti apa erti dan impaknya. Khalayak diberi penjelasan setiap hari, namun semakin sukar juga untuk mempercayai mana satu yang jujur.
Masalah 2026 bukan kekurangan analisis. Di fasa ini, analisis yang datang terlalu awal dan terlalu cepat.
Pada setiap peristiwa besar - daripada konflik antarabangsa hinggalah impak ekonomi – semua diterjemah serta-merta menjadi naratif yang bersaing. Fakta belum sempat sempurna, tetapi tafsiran sudah dibentuk.
Media akan kekal dalam tekanan kelajuan dan persaingan perhatian. Media akan memendekkan realiti agar muat di skrin kecil.
Latar sejarah dan sosial dikecilkan, sebab dan musabab dipermudahkan, dan kerumitan digantikan dengan konflik. Dunia kelihatan seperti siri episod pendek yang tidak memerlukan ingatan jangka panjang.
Dalam keadaan ini, khalayak bukan tidak mahu memahami. Mereka keletihan untuk menilai. Setiap hari menuntut sikap, emosi dan pendirian baharu.
Lama-kelamaan, kepercayaan menjadi beban psikologi. Lebih mudah bersikap sinis daripada terus berharap.
Lihat sahaja landskap antarabangsa beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya dalam kitaran pilihan raya di negara-negara besar.
Kempen politik bukan lagi medan perdebatan tentang polisi atau pun dasar, tetapi medan penguasaan naratif. Video pendek, slogan emosi dan tuduhan segera menguasai ruang media awam.
Dalam banyak situasi, krisis sebenar seperti ketidaksamaan ekonomi, kos sara hidup, perubahan iklim akan tenggelam di bawah gelombang tuduhan identiti dan ketakutan.
Algoritma menguatkan kandungan yang memecahkan khalayak kepada “kita” dan “mereka”.
Akhirnya, pilihan raya bukan sahaja menentukan pemilik kuasa dan kerajaan, tetapi meninggalkan masyarakat yang lebih curiga antara satu sama lain.
Situasi ini menunjukkan sesuatu yang sangat mendalam: apabila komunikasi awam gagal berfungsi sebagai ruang untuk penjelasan, ia menjadi alat pemecahan.
Bukan kerana ketiadaan kebenaran, tetapi kerana tiada siapa lagi yang dipercayai sebagai pemberi penjelasan yang baik.
Menjelang 2026, kecerdasan buatan semakin menyusup dengan sedar ke dalam komunikasi harian. Kandungan boleh dijana tanpa penulis, suara boleh ditiru tanpa penutur, dan imej boleh dicipta tanpa peristiwa sebenar.
Dunia kelihatan cekap dan pantas, tetapi semakin sukar membezakan pengalaman hidup dengan simulasi.
Ini bukan sekadar isu teknikal. Ia isu psikologi dan sosial. Apabila manusia tidak lagi pasti sama ada sesuatu mesej datang daripada pengalaman sebenar atau sistem buatan, hubungan emosi antara penyampai dan penerima terhakis. Komunikasi menjadi licin, tetapi menjadi terlalu kosong.
Pada titik ini, persoalan utama bukan lagi tentang ketepatan fakta, tetapi tentang pertanggungjawaban.
Siapa yang bertanggungjawab apabila mesej mengelirukan? Siapa yang memikul kesan sosial apabila kepercayaan runtuh? Soalan-soalan ini jarang dijawab dengan jujur.
Entiti berautoriti pula memasuki 2026 dengan dilema tersendiri. Dalam usaha mengelakkan kesilapan, bahasa yang digunakan menjadi semakin berhati-hati.
Kenyataan rasmi disusun untuk meminimumkan risiko, bukan untuk memaksimumkan kefahaman. Frasa selamat akhirnya berfungsi sebagai pelindung universal.
Namun khalayak semakin mahir membaca bahasa seperti ini. Mereka tahu bila sesuatu ayat bertujuan menjelaskan, dan bila ia sekadar melengahkan.
Akibatnya, komunikasi entiti berautoriti bukan sahaja gagal meyakinkan, malah mempercepatkan hakisan kepercayaan.
Salah faham terbesar zaman ini ialah menganggap khalayak tidak peduli. Hakikatnya bukan begitu. Khalayak sangat peduli malah lebih berhati-hati.
Mereka tidak menolak maklumat; mereka menangguhkan kepercayaan. Mereka mendengar, tetapi dengan penuh hati-hati.
Keletihan ini bukan tanda kelemahan. Ia mekanisme perlindungan dalam dunia yang terlalu menuntut reaksi. Diam, dalam banyak keadaan, menjadi cara untuk bertahan.
Maka 2026 tidak menuntut lebih banyak suara. Ia menuntut disiplin dalam bersuara. Ia tidak meminta lebih banyak kandungan di media sosial, tetapi lebih banyak tanggungjawab.
Dalam dunia yang terlalu pantas, keberanian sebenar ialah memperlahankan komunikasi dan memberi ruang untuk berfikir sebelum menjelaskan.
McLuhan pernah mengingatkan bahawa manusia sering membentuk alat, kemudian alat itu membentuk manusia. Kini persoalannya semakin jelas: adakah kita masih mengawal komunikasi, atau komunikasi itu sendiri telah mengawal kita?
Di sinilah cabaran sebenar 2026. Bukan untuk menambah kelantangan, tetapi untuk memulihkan penjelasan. Bukan untuk memenangi perhatian, tetapi untuk membina keyakinan secara perlahan, konsisten dan menyeluruh.
Dalam dunia yang semakin bising, keupayaan untuk berfikir sebelum bercakap dan menjelaskan tanpa memanipulasi telah menjadi bentuk keberanian yang semakin jarang ditemui.
Selamat tahun baru 2026.
*Syirfan Indra Mitra Surya Hussin ialah sarjana media dan penyelidik naratif digital yang memberi tumpuan kepada transformasi kewartawanan baharu, komunikasi strategik dan transformasi wacana awam dalam ekosistem maklumat kontemporari.