Dendam tidak pernah menjadi penyelesaian

Iklan
Masyarakat perlu mengelakkan kecenderungan menyelesaikan masalah melalui tindakan sendiri. - Gambar hiasan

DITUDUH malas bekerja, lelaki bunuh satu keluarga’, sekali membaca tajuk berkenaan mengerikan juga rasanya, walaupun tragedi itu berlaku di Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia, kejadian tersebut wajar dijadikan pengajaran kepada rakyat Malaysia mengenai bahaya dendam, kegagalan mengawal emosi dan kepentingan menyelesaikan konflik secara rasional.

Kes itu bukan sekadar memperlihatkan kekejaman seorang individu, malah menggambarkan bagaimana rasa sakit hati yang dipendam tanpa pengurusan emosi dan penyelesaian konflik yang betul boleh berkembang menjadi tindakan ganas sehingga mengorbankan nyawa mereka yang tidak berdosa.

Iklan
Iklan

Lebih menyedihkan, pertikaian antara rakan sekerja itu akhirnya mengorbankan suami, isteri dan anak mereka yang baru berusia dua tahun, sekali gus menunjukkan tindakan berasaskan kemarahan tidak hanya menghukum individu yang menjadi sasaran, sebaliknya boleh menyeret seluruh keluarga ke dalam tragedi.

Walaupun suspek mendakwa tindakannya berpunca daripada perasaan marah kerana sering dituduh malas bekerja selain diberhentikan daripada pekerjaan, tekanan, penghinaan, kekecewaan atau kehilangan sumber pendapatan tidak pernah boleh dijadikan alasan untuk seseorang mengambil nyawa orang lain.

Iklan

Dalam konteks pekerjaan, konflik antara pekerja perlu dilihat sebagai isu yang memerlukan pengurusan profesional dan bukan sekadar perselisihan peribadi kerana pertelingkahan yang dibiarkan berlarutan berpotensi menjejaskan bukan sahaja emosi individu terbabit, malah keselamatan warga kerja.

Majikan mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan saluran aduan yang jelas, memastikan setiap laporan berkaitan gangguan, penghinaan, ugutan atau perselisihan diberi perhatian dan mengambil tindakan sewajarnya sebelum keadaan menjadi lebih serius.

Iklan

Pendekatan sedemikian penting kerana intervensi awal membolehkan masalah dikenal pasti sebelum konflik mencapai tahap yang mengancam keselamatan, selain memberi ruang kepada pihak terbabit mendapatkan penyelesaian melalui perbincangan, mediasi atau sokongan profesional.

Pada masa sama, pekerja juga perlu memahami perbezaan pendapat, teguran terhadap prestasi kerja atau ketidakpuasan hati terhadap keputusan majikan perlu diurus melalui saluran yang betul dan bukannya diterjemahkan dalam bentuk ancaman, ugutan atau tindakan agresif.

Rakan sekerja pula tidak seharusnya menganggap perubahan tingkah laku, kemarahan melampau atau ugutan sebagai perkara remeh kerana mereka yang berada paling dekat dengan seseorang kadangkala menjadi pihak pertama yang dapat mengenal pasti tanda-tanda konflik sedang menuju ke tahap berbahaya.

Dalam masyarakat, pendidikan berkaitan pengurusan emosi dan penyelesaian konflik juga perlu diperkukuh kerana kemampuan seseorang mengawal kemarahan bukan sahaja berkaitan kepentingan peribadi, tetapi turut menentukan keselamatan orang di sekelilingnya.

Keluarga juga memainkan peranan sebagai sistem sokongan penting dengan membantu individu yang berdepan tekanan pekerjaan, masalah kewangan atau konflik peribadi mendapatkan bantuan yang sesuai sebelum tekanan tersebut diterjemahkan kepada tindakan yang memudaratkan diri atau orang lain.

Bagi pihak berkuasa, tindakan menahan suspek, merampas senjata yang dipercayai digunakan dan menjalankan lakon semula kejadian menunjukkan kepentingan siasatan menyeluruh bagi memastikan kronologi, motif dan bukti kes diteliti sebelum tindakan undang-undang diambil.

Selain itu, masyarakat perlu mengelakkan kecenderungan menyelesaikan masalah melalui tindakan sendiri kerana undang-undang, institusi pekerjaan, keluarga dan komuniti menyediakan mekanisme yang boleh digunakan untuk menangani pertikaian secara lebih selamat dan terkawal.

Akhirnya, tragedi di Palu itu menjadi peringatan satu konflik yang gagal diurus dengan baik boleh membawa kesan yang tidak mungkin diperbaiki, maka semua pihak perlu mengambil tanggungjawab bersama sebelum kemarahan bertukar menjadi tragedi.

*Norafidah Assan ialah wartawan Sinar Harian