MyKad generasi baharu, bukan sekadar sekeping kad

Iklan
Semua kaunter bahagian kad pengenalan JPN Pahang di Indera Mahkota dibuka sempena fasa pertama pengeluaran MyKad generasi baharu bermula pada Khamis. Gambar hiasan

KALI pertama memiliki MyKad ketika berusia 12 tahun, penulis masih teringat keterujaan memegang sekeping kad yang menjadi pengenalan diri penting sebagai rakyat Malaysia.

Pada usia 18 tahun, penulis sekali lagi memiliki MyKad baharu sebelum menukar semula ketika berusia lingkungan 20an akibat masalah pada cip.

Iklan
Iklan

Kini, selepas bertahun-tahun menggunakan kad yang sama, penulis juga tidak sabar untuk memiliki MyKad generasi baharu.

Malangnya, pada hari pertama pengeluarannya pada Khamis, penulis masih belum berkesempatan menukar kad pengenalan tersebut.

Iklan

Melihat orang ramai mula mendapatkan MyKad generasi baharu, timbul pula persoalan dalam fikiran penulis perlukah kita segera menukar MyKad sedia ada yang masih elok?

Persoalan itu bukan sesuatu yang pelik, malah mungkin ramai rakyat turut memikirkannya.

Iklan

Jika MyKad yang ada masih boleh digunakan, tidak rosak dan masih diterima untuk urusan harian, mengapa perlu tergesa-gesa menukarnya?

Bagaimanapun, pengenalan MyKad generasi baharu bukan sekadar soal menukar kad lama kepada kad yang baharu.

Antara ciri baharu termasuk kod QR bagi tujuan pengesahan dan penguatkuasaan, hologram keselamatan dinamik, ciri ultraungu (UV), turihan laser, teks mikro serta cip dengan tahap enkripsi yang dipertingkatkan.

Kad itu juga menggunakan bahan polikarbonat yang lebih tahan lasak.

Bagi penulis, peningkatan ciri keselamatan ini wajar dilihat dalam konteks yang lebih besar.

Dunia hari ini semakin bergantung kepada teknologi dan data peribadi, malah MyKad pula digunakan dalam pelbagai urusan penting rakyat.

Daripada urusan kerajaan, perbankan, bantuan dan subsidi sehingga pelbagai perkhidmatan lain, identiti seseorang perlu dapat dikenal pasti dan disahkan dengan tepat.

Sebab itu, usaha memperkukuh keselamatan dokumen pengenalan diri tidak sepatutnya dilihat sebagai perkara remeh.

Bagaimanapun, secanggih mana pun teknologi yang digunakan pada MyKad, ia tetap tidak akan bermakna jika pemiliknya sendiri cuai.

Ingatlah, jangan mudah memberikan salinan MyKad kepada mana-mana pihak tanpa mengetahui tujuan dan keperluannya.

Jangan sewenang-wenangnya menghantar gambar MyKad melalui WhatsApp atau aplikasi lain, terutama kepada individu yang tidak dikenali.

Malah, elakkan memuat naik gambar MyKad di media sosial walaupun dengan niat sekadar berkongsi pengalaman mendapatkan kad baharu.

Maklumat yang kelihatan kecil seperti nombor kad pengenalan, nama penuh dan gambar boleh menjadi sensitif apabila berada di tangan pihak yang salah.

Bagi yang sudah mendapat MyKad generasi baharu pula, jagalah ia sebaik mungkin dan jangan lupa bahawa ciri keselamatan terbaik sekalipun tetap memerlukan sikap pengguna yang bertanggungjawab.