Bila 'syurga' bertukar 'neraka'

Iklan
Perselisihan faham yang tidak ditangani secara berhemah boleh membawa kepada jenayah, keganasan rumah tangga, penderaan kanak-kanak malah pembunuhan.

PERSELISIHAN faham dalam rumah tangga yang dibina bersama pasangan boleh dianggap lumrah atau disebut orang lama sebagai 'asam garam' kehidupan.

Selagi dapat diatasi tanpa memudaratkan pasangan atau menjejaskan perkembangan dan pembelajaran anak-anak, perselisihan itu masih dianggap lumrah dalam proses mematangkan hubungan.

Iklan
Iklan

Lelaki sebagai ketua keluarga perlu meredakan pergolakan, manakala wanita pula harus bijak mengawal emosi dan menghormati saranan pasangan.

Namun, perselisihan faham yang tidak ditangani secara berhemah boleh membawa kepada jenayah, keganasan rumah tangga, penderaan kanak-kanak malah pembunuhan.

Iklan

Beberapa kes dilaporkan media sebelum ini menunjukkan rapuhnya institusi kekeluargaan dan boleh dianggap berada tahap membimbangkan.

Bayangkan, rumah yang sepatutnya menjadi ruang berteduh buat isteri dan anak-anak boleh menjadi tempat paling tidak selamat buat mereka.

Iklan

Kejadian terbaharu di Kulim pada Isnin melaporkan seorang isteri berusia 39 tahun maut ditikam 13 kali oleh suaminya di dalam bilik tidur mereka.

Lelaki berusia 43 tahun itu mengaku menikam isterinya tujuh kali di dada, lima kali di perut dan sekali di rusuk kanan menggunakan pisau lipat.

Dalam kes yang menggemparkan negara sebelum ini, Rosmaini Abdul Raof dijatuhi hukuman penjara 14 tahun oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isterinya, Jahidah Nordin@Sylvester, dalam kejadian pada 2021 di Johor Bahru.

Umum mengetahui betapa teruknya kecederaan dialami sehingga mangsa terlantar, mengalami pendarahan otak, patah di beberapa bahagian dan kerosakan neurologi yang teruk. Bayinya pula dilahirkan dengan mengalami kelewatan perkembangan dan kecacatan.

Januari lalu, seorang doktor didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan membunuh isteri berusia 37 tahun dan anak lelaki berusia lima tahun dalam kejadian pada Disember 2025.

Kejadian dilaporkan di akhbar kini boleh diakses dengan mudah menerusi media sosial di hujung jari sahaja.

Namun, bagaimana pula dengan kejadian yang tidak dilaporkan apabila mangsa lebih rela berdiam diri gara-gara takut untuk tampil bercerita?

Jika difikirkan secara rasional, peranan lelaki sebagai suami bukan setakat memenuhi keperluan asas seperti makan minum dan tempat tinggal, sebaliknya penghargaan emosi dan keharmonian juga perlu dititikberatkan.

Tambahan pula, lelaki sinonim sebagai pelindung dan pembimbing, serta dari sudut pandangan Islam, suami harus melaksanakan amanah berdasarkan syariat.

Namun, tindakan segelintir pihak mengambil kesempatan terhadap golongan lemah adalah sesuatu tidak masuk akal.

Sebagai masyarakat prihatin, laporkan segera jika ternampak atau mengetahui berlakunya penindasan terhadap mana-mana mangsa, terutama mereka yang takut bertindak.

Sikap prihatin penting bagi memastikan keselamatan mangsa terjamin dan golongan yang ditindas terbela.

Sebagai contoh, kejadian memilukan membabitkan seorang kanak-kanak yang ditendang di sebuah kedai makan di hadapan khalayak baru-baru ini.

Naluri penulis sebagai seorang ibu sudah pasti terkesan melihat kejadian yang tular apabila seorang kanak-kanak jatuh selepas disepak lelaki dewasa, kemudian dikasari dengan cara ditarik dan diangkat supaya terus berjalan.

Jika di hadapan orang ramai pun pelaku tidak segan silu menerajang anak kecil itu, penulis percaya tindakan mengasari kanak-kanak mungkin boleh berulang.

Laporan boleh disampaikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan hadir atau menghubungi balai polis berdekatan untuk mendapatkan bantuan.

Selain itu, Talian Kasih 15999 boleh dihubungi untuk melaporkan kes penderaan, keganasan rumah tangga dan pengabaian membabitkan kanak-kanak.

Agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga boleh dihubungi untuk mendapatkan perlindungan dan bantuan kebajikan.

Namun, jika berlaku kecemasan dan seseorang sedang berada dalam bahaya, talian 999 boleh digunakan.

Kita sebagai anggota masyarakat bertanggungjawab memastikan kegiatan jenayah, keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak seperti itu dapat dibendung segera.

*Siti Zubaidah Zakaraya ialah wartawan Sinar Harian Utara.