21 tentera Israel akhiri nyawa pada 2025

Iklan
Tentera Israel meratapi pemergian rakan anggota yang lain. Foto Agensi

TEL AVIV - Tentera Pertahanan Israel (IDF) mendedahkan 21 tentera dipercayai mengakhiri nyawa mereka pada 2025, sebahagian daripada 151 kematian tentera sepanjang tahun ini.

IDF mengaitkan fenomena ini dengan tekanan psikologi akibat perang dengan Hamas yang berlaku sejak 2023.

Iklan
Iklan

Daripada jumlah kematian itu, 91 tentera terkorban semasa operasi ketenteraan atau serangan pihak lawan.

Selain itu, 15 tentera meninggal dunia akibat penyakit, 17 anggota terlibat kemalangan jalan raya awam, manakala lima lagi maut akibat insiden lain termasuk penyalahgunaan alkohol atau jenayah semasa cuti.

Iklan

IDF menjelaskan bahawa daripada 21 kes menamatkan riwayat hidup itu, 13 berlaku di luar pangkalan tentera dan lapan di dalam pangkalan.

Sebelas adalah anggota wajib, satu tentera kerjaya dan sembilan tentera simpanan. Hanya lima daripada mereka yang menunjukkan tanda tekanan mental atau pernah mendapatkan rawatan psikologi sebelum ini.

Iklan

Selain itu, 15 bekas tentera dipercayai mengakhiri hidup selepas meninggalkan perkhidmatan.

Mereka dijangka diklasifikasikan sebagai 'terkorban selepas perkhidmatan', satu status khas yang membolehkan keluarga menerima manfaat bulanan daripada Kementerian Pertahanan Israel.

IDF menegaskan pihaknya akan memperluas pemantauan psikologi, mempercepat tindak balas terhadap tanda amaran dan membuka pusat rawatan mental baharu bagi mengatasi kesan psikologi perang yang berpanjangan.

Tentera juga menekankan bahawa status 'terkorban selepas perkhidmatan' diberikan bagi memastikan keluarga mendapat pengiktirafan dan sokongan sewajarnya.

Kementerian Pertahanan berkata, langkah ini juga membolehkan anggota menerima pengkebumian awam dengan penghormatan tentera, sambil keluarga dibimbing sepanjang tempoh berkabung sehingga status akhir ditentukan. - Agensi