Manfaat kotak, botol terpakai buat dua Jaafar

Iklan
Jaafar Idrus (kiri) dan Jaafar Ibrahim seronok isi masa lapang selepas bersara dengan aktiviti kitar semula.

NILAI - Bagi kebanyakan orang, kotak dan botol terpakai dilihat sebagai sampah yang mencacatkan pemandangan, tetapi tidak bagi dua warga emas bernama Jaafar di Taman Mulia Lagenda di sini.

Bagi mereka, barangan berkenaan mempunyai nilai tersendiri kerana boleh dikitar semula, sekali gus memberi manfaat kepada alam sekitar dan komuniti setempat.

Iklan
Iklan

Atas kesedaran itu, kedua-duanya sanggup datang ke rumah jiran-jiran untuk mendapatkan barang kitar semula.

Menurut pesara kerajaan, Jaafar Idrus, 71, dia mula berjinak-jinak dengan aktiviti kitar semula sejak 2021 selepas tertarik dengan program KITARecycle dianjurkan SWM Environment Sdn Bhd.

Iklan

"Saya tertarik dengan ganjaran ditawarkan, tapi lama-kelamaan seronok nak jadikan amalan dalam kehidupan seharian, selain dapat isi masa lapang selepas pencen.

"Saya bukan saja kumpul barang kitar semula daripada penggunaan di rumah sendiri, tetapi turut mengambilnya dari rumah jiran-jiran," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Jaafar Idrus menerima Anugerah Ikon Inspirasi Sektor Aktiviti Hijau dan Kitar Semula peringkat Negeri Sembilan.

Menurutnya, ada juga dalam kalangan jiran yang mengetahui hobinya itu menghantar sendiri barangan tersebut ke rumahnya.

Jelasnya, kesemua barangan berkenaan akan dikumpulkan di sebuah rumah kosong yang dijadikan sebagai tempat simpanan, sebelum diasingkan mengikut kategori.

"Penduduk di sini mempunyai nombor telefon saya dan mereka akan hubungi jika ada barang kitar semula yang telah dikumpulkan

"Saya juga berterima kasih kepada tuan rumah yang telah berikan amanah kepada saya dan rakan-rakan untuk jadikan rumahnya sebagai tempat simpanan barangan kitar semula yang dikumpulkan," katanya.

Jaafar Ibrahim (kiri) dan Jaafar Ibrahim (dua dari kiri) berterima kasih dengan jiran-jiran yang sentiasa memberi sokongan.

Bersungguhnya Jaafar dalam membudayakan amalan kitar semula, apabila dia turut bekerjasama dengan beberapa kedai di kawasan berhampiran rumahnya bagi mendapatkan kotak-kotak atau botol-botol terpakai.

Tambahnya, kesemua barangan tersebut diberikan secara percuma, malah kebanyakannya menyambut baik usaha yang dilakukan.

"Sebagai contoh di restoran mamak, bila mereka beri saya kotak, saya pula bekalkan mereka daun pisang yang menjadi keperluan restoran itu, kiranya sama-sama dapat manfaat.

"Anak-anak dan cucu pun tahu hobi saya ini dah sekarang ini kalau datang rumah, mereka akan bawa barang-barang kitar semula yang telah dikumpulkan di rumah masing-masing," katanya yang turut dinobatkan sebagai Ikon Inspirasi Sektor Aktiviti Hijau dan Kitar Semula Negeri Sembilan.

Bekas jurutera sebuah syarikat penerbangan, Jaafar Ibrahim, 73, pula seronok melakukan aktiviti tersebut kerana dapat mengisi masa lapangnya selepas bersara, selain dapat terus kekal aktif.

Pada masa sama katanya, dengan cara itu dia dapat menyumbang kepada kelestarian alam sekitar di kawasan kejiranannya.

"Saya dan Haji Jaafar adalah antara orang yang akan membuat kutipan dari rumah-rumah jiran yang telah mengasingkan barangan kitar semula mereka.

"Saya juga akan berhubung dengan pihak SWM Environment berkenaan waktu lori kutipan KITARecycle akan masuk ke taman kami supaya persediaan dapat dilakukan," katanya.

Tambah Jaafar, pentingnya masyarakat membudayakan amalan kitar semula dalam kehidupan supaya barangan tersebut tidak berakhir di tapak pelupusan sampah dan di tempat tidak sepatutnya.

Jelasnya lagi, sampah yang dijana bukan semuanya tidak mempunyai nilai kerana jika diasingkan dengan baik, ia mampu memberikan pendapatan sampingan kepada individu ataupun komuniti tersebut.

"Antara barangan yang banyak kami kumpulkan ialah kotak, botol-botol plastik dan tin susu.

"Kami juga dalam perancangan untuk meluaskan aktiviti pendidikan ini dengan bekerjasama dengan pihak operator taska yang berhampiran," katanya.