PORT DICKSON – Kali pertama datang ke negara ini dan disambut pula dengan kalungan bunga seperti tetamu VIP pastinya menjadi kenangan manis buat sebahagian pelancong Indonesia yang tiba di Jeti Penumpang Port Dickson di sini pada Khamis.
Rata-ratanya tidak sabar melihat keindahan negara ini yang selama ini disaksikan secara jauh sama ada menerusi televisyen ataupun media sosial dari rumah masing-masing.
Asnawi Abdullah,42, yang datang dari Aceh, Indonesia memberitahu dirinya tidak sabar melihat bangunan KLCC yang selama ini hanya dilihatnya menerusi televisyen dan telefon bimbit.
"Saya datang ke Malaysia pertama kali dan hasratnya mahu bercuti sempena tahun baharu, paling tak sabar nak tengok bangunan KLCC di depan mata.
"Tempoh visa saya selama sebulan, tapi mungkin saya bercuti di sini selama 15 hari sambil mengambil peluang berjumpa kawan-kawan," katanya.
Sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 dan juga Tahun Melawat Malaysia 2026, Majlis Perbandaran Port Dickson dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan bersama Tourism Malaysia menganjurkan program menyambut ketibaan pelancong ke negeri ini.
Ia sebagai inisiatif awal mempromosikan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelancongan pilihan.
Dalam pada itu, keterujaan turut terpancar pada wajah Siti Hayani Muhammad Yunus,35, sebaik saja sampai di jeti selepas menaiki feri lebih satu jam.
Ujarnya, kedatangannya ke negara ini kerana rindukan kakaknya yang sudah tujuh tahun tidak pulang ke Indonesia sejak bekerja di Kuala Lumpur.
"Ini juga kali pertama saya datang ke Malaysia dan tak sangka disambut dengan meriah.
"Kakak sudah beritahu nak bawa saya berjalan-jalan, antaranya melihat KLCC," katanya.
Sementara itu, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon yang turut hadir menyambut ketibaan pelancong terbabit berkata, kerajaan negeri menyasarkan kehadiran seramai 25 juta pelancong ke negeri ini sepanjang Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.
Selain menawarkan produk eko-pelancongan dan warisan, Negeri Sembilan turut menyediakan pelancongan perubatan di enam hospital swasta, tambahnya.