RIYADH – Yemen telah terperangkap dalam konflik berpanjangan sejak 2014 selepas pemberontak Houthi yang disokong Iran menggulingkan kerajaan sah, sekali gus mencetuskan campur tangan ketenteraan pimpinan Arab Saudi.
Namun, dalam beberapa minggu kebelakangan ini, satu konflik dalaman baharu pula tercetus, mengancam kestabilan kerajaan yang sedia rapuh.
Pertembungan terbaharu ini melibatkan kumpulan bersenjata yang secara longgar berada di bawah payung kerajaan, namun masing-masing menerima sokongan berbeza daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.
Pada Selasa, UAE mengumumkan pengunduran baki tenteranya dari Yemen, susulan tuntutan Arab Saudi supaya pasukan negara itu beredar dalam tempoh 24 jam, ketika ketegangan memuncak berikutan ofensif besar-besaran oleh kumpulan pemisah yang disokong Abu Dhabi dan enggan berundur.
Berikut ialah gambaran perkembangan terkini yang mengancam kelangsungan kerajaan Yemen serta kemungkinan implikasi pada masa hadapan.
Apa yang sedang berlaku?
Bulan ini, Majlis Peralihan Selatan (STC) — kumpulan pemisah yang disokong UAE dan rakan utama kerajaan — menguasai sebahagian besar wilayah Hadramout yang kaya dengan sumber asli, serta kawasan luas di wilayah jiran Al-Mahra.
Arab Saudi, penyokong utama kerajaan Yemen, bertindak balas keras. Ketegangan memuncak pada Selasa apabila gabungan ketenteraan pimpinan Riyadh melancarkan serangan ke atas apa yang didakwa sebagai penghantaran senjata dan kenderaan tempur dari UAE kepada kumpulan pemisah tersebut.
UAE menafikan dakwaan membekalkan senjata kepada STC.
Susulan serangan itu, Majlis Kepimpinan Presiden Yemen membubarkan perjanjian pertahanan dengan UAE dan mengisytiharkan darurat selama 90 hari.
Serangan berkenaan berlaku selepas beberapa serbuan menyasarkan kedudukan STC pada Jumaat lalu, berikutan gesaan Riyadh supaya kumpulan pemisah itu berundur.
Kemudian pada hari sama, UAE mengumumkan pengunduran semua baki tenteranya dari Yemen, manakala jurucakap STC menegaskan kumpulan itu akan terus mempertahankan kedudukan mereka.
Seorang pegawai tentera Yemen memaklumkan kira-kira 15,000 pejuang yang disokong Arab Saudi kini berkumpul berhampiran sempadan Saudi-Yemen, namun belum menerima arahan untuk mara.
Menurut penganalisis kanan Institut Washington, April Longley Alley, kebuntuan ini berisiko menggugat gencatan senjata rapuh selama tiga setengah tahun di Yemen, selain berpotensi menjejaskan hubungan antara dua sekutu utama Amerika Syarikat, iaitu Arab Saudi dan UAE.
Apakah tuntutan STC?
Pemerhati politik melihat STC sedang berusaha menuntut autonomi lebih luas ke atas wilayah yang dikuasainya, atau bahkan kemerdekaan sepenuhnya.
Dipimpin oleh Aidaros al-Zubaidi, STC menghimpunkan pelbagai kumpulan yang berhasrat menghidupkan semula Yemen Selatan, yang wujud dari 1967 hingga 1990 sebelum bergabung dengan Yemen Utara.
Kini, STC menguasai hampir keseluruhan wilayah bekas Yemen Selatan.
Menurut penganalisis Institut Negara-Negara Teluk Arab, Gregory D. Johnsen, STC mempertaruhkan peluang untuk menyatukan selatan di bawah satu kepimpinan, memisahkannya daripada pengaruh Houthi di utara, memanfaatkan hasil minyak dan gas, serta membentuk sebuah negara yang stabil dan berfungsi.
Bagaimanapun, katanya, langkah itu merupakan cabaran besar dan berkemungkinan ditentang sama ada dari dalam mahupun luar.
Mengapa Hadramout begitu kritikal kepada Arab Saudi?
Hadramout ialah wilayah terbesar Yemen, merangkumi hampir sepertiga keluasan negara, serta paling kaya dengan sumber.
Wilayah itu menempatkan sebahagian besar rizab petroleum Yemen, selain memiliki pelabuhan strategik yang terletak jauh dari zon konflik Laut Merah yang sering menjadi sasaran serangan Houthi.
Namun bagi Arab Saudi, kepentingan Hadramout melangkaui aspek geografi dan ekonomi.
Sejak generasi terdahulu, komuniti Hadramout memainkan peranan penting dalam ekonomi Saudi dan membentuk sebahagian besar komuniti perniagaan negara itu.
Migran dari wilayah tersebut dikenali dengan keusahawanan tinggi, daripada mengendalikan restoran keluarga hingga membangunkan konglomerat pembinaan bernilai berbilion dolar.
Kehilangan Hadramout kepada kumpulan militia yang disokong UAE dianggap sebagai tamparan strategik besar kepada Riyadh.
“Jika saya Arab Saudi, saya tidak akan lena tidur sekiranya kehilangan Hadramout,” kata penyelidik Chatham House, Farea al-Muslimi.
Mampukah Arab Saudi mengekang kumpulan pemisah?
Perkembangan terbaharu ini menyaksikan pakatan Saudi berdepan kumpulan bersenjata yang bertekad menguasai wilayah yang dianggap berbeza secara sejarah daripada Yemen secara keseluruhan.
Pengalaman hampir sedekad memerangi Houthi — yang menyaksikan perbelanjaan berbilion dolar tanpa kejayaan muktamad — tidak memberikan banyak keyakinan kepada Riyadh.
Pakar ketenteraan menyatakan rupa bumi selatan yang lebih terbuka mungkin memberi kelebihan taktikal kepada Arab Saudi. Namun, serangan udara semata-mata dilihat tidak mencukupi untuk menyingkirkan kumpulan pemisah dari wilayah yang dikuasai.
“Serangan udara tidak pernah membawa perubahan ketara dalam pertempuran tanpa operasi darat,” tegas al-Muslimi.-AFP