MELAKA - Insiden tiga kereta yang disagat sebuah treler di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Jejantas Ayer Keroh, Ahad lalu, perlu ditangani melalui penguatkuasaan yang adil.
Seorang pemandu treler, Zulkarnain Othman, 53, berkata, pihak PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan penguat kuasa perlu memandang serius isu berkenaan demi keselamatan serta keselesaan semua pengguna jalan raya.
Menurutnya, kejadian tersebut berpunca daripada laluan lori termasuk kawasan parkir kenderaan berat yang sering disalahgunakan oleh kenderaan ringan, terutama ketika waktu puncak seperti musim perayaan dan cuti umum.
“Situasi ini bukan perkara baharu dan berlaku hampir di semua R&R di sepanjang lebuh raya.
“Sebagai pemandu kenderaan berat, hentian rehat amat penting untuk keselamatan kerana kami perlu berhenti berehat dan tidur sebelum meneruskan perjalanan jauh.
“Apabila kereta meletakkan kenderaan di tempat lori, kami tidak mempunyai ruang untuk parkir. Apabila kami terpaksa parkir di bahu jalan, kami pula yang disaman, sebaliknya kereta yang menggunakan parkir lori tidak diambil tindakan,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, masalah tersebut telah dibangkitkan berkali-kali, namun tiada tindakan tegas diambil, sebaliknya kebanyakan kesalahan dikenakan terhadap pemandu lori.
Zulkarnain yang telah 25 tahun bekerja sebagai pemandu lori berkata, sikap segelintir pemandu kenderaan ringan yang kurang peka terhadap keselamatan diri turut menjadi antara punca utama kejadian berisiko di lebuh raya.
“Kami pemandu lori hanya seorang dalam kenderaan, tetapi mereka dalam kereta ada membawa sehingga lima orang penumpang. Sepatutnya mereka yang lebih memikirkan soal keselamatan.
“Justeru, saya berharap penguatkuasaan dibuat secara adil dan tidak hanya tertumpu kepada kenderaan berat sahaja,” katanya.
Sementara itu, seorang pengguna jalan raya, Helmi Adun, 48, berpandangan bahawa semua pemandu tanpa mengira jenis kenderaan perlu mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
“Perkara ini sebenarnya mudah. Jika ada tempat yang dibenarkan, kita parkir. Jika tidak dibenarkan, jangan parkir.
“Selain itu, penguatkuasaan perlu dipertingkatkan terutama ketika cuti sekolah dan musim perayaan kerana jumlah kenderaan di lebuh raya meningkat dengan ketara.
“Peraturan diwujudkan bersebab. Apabila sudah berlaku kerosakan seperti ini, pemandu kereta yang perlu menanggung kerugian. Harap kejadian ini menjadi iktibar kepada semua pengguna jalan raya,” katanya.
Dalam kejadian Ahad lalu, tindakan tiga kereta meletakkan kenderaan di bahu jalan mengundang padah selepas kenderaan mereka disagat sebuah treler yang gagal melepasi selekoh laluan lori berkenaan.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku sekitar jam 5.30 petang hingga 6.30 petang, dengan beberapa video berkaitan insiden itu tular di media sosial.
Sebelum kejadian, beberapa orang awam dilaporkan cuba mengalihkan kenderaan berkenaan bagi mengelakkan kerosakan yang lebih teruk.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati selekoh berkenaan telah dipasang kon bagi menghalang kenderaan ringan daripada meletakkan kenderaan di laluan tersebut.