Polis Melaka sasar sifar kemalangan maut sempena Ops Selamat ke-25

Iklan
Dzulkhairi menyampaikan kit kepada pengguna jalan raya sempena pelancaran Ops Selamat Tahun Baharu Cina pada Khamis.

MELAKA -Polis Melaka menyasarkan penurunan lima peratus kemalangan jalan raya dan sifar kemalangan maut sempena Ops Selamat Tahun Baharu Cina tahun ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pelbagai langkah proaktif dilakukan termasuk penempatan anggota di 10 lokasi ‘hotspot’ dan tujuh kawasan ‘blackspot’ dikenal pasti.

Iklan
Iklan

Selain itu katanya, penempatan anggota turut dilakukan di sempadan negeri bagi memastikan kelancaran trafik pada musim perayaan.

“Kita melihat kemalangan bukan sahaja disebabkan kecuaian manusia tetapi juga mungkin daripada keadaan fizikal jalan itu sendiri yang menjadi punca.

Iklan

“Jadi kita akan pastikan kawasan yang keadaan jalannya kurang baik akan ditempatkan anggota supaya pengguna lebih berhati-hati apabila melihat kehadiran polis,” katanya selepas melancarkan Ops Selamat ke-25 sempena Tahun Baharu Cina 2026 di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) pada Khamis.

Ops Selamat akan berlangsung selama enam hari bermula 15 Februari hingga 20 Februari memberi tumpuan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya serta memastikan keselamatan rumah yang ditinggalkan sepanjang musim perayaan.

Iklan

Seramai 160 anggota daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Jabatan Pencegahan Jenayah serta Jabatan Siasatan Jenayah (CID) akan digerakkan bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan kediaman orang ramai.

Dzulkhairi berkata, pihaknya menjangkakan antara 300,000 hingga 400,000 kenderaan luar akan memasuki Melaka bermula minggu depan.

Tambah beliau, statistik menunjukkan terdapat peningkatan kes kemalangan khususnya melibatkan jalan Persekutuan termasuk kemalangan maut yang agak tinggi di lebuh raya susulan jajaran lebuh raya di Melaka sepanjang kira-kira 50 kilometer bermula dari Simpang Empat hingga ke Jasin.

“Pemandu dari Johor atau dari arah utara mungkin keletihan apabila tiba di jajaran ini, jadi kita nasihatkan supaya berhenti berehat di kawasan rehat dan rawat (R&R) yang disediakan sebelum meneruskan perjalanan.

“Kemalangan mungkin tidak dapat dielakkan sepenuhnya, namun kita akan cuba sedaya upaya mengelakkan kemalangan maut. Sasaran kita tahun ini ialah sifar kemalangan maut.

“Kita tidak mahu kegembiraan orang ramai yang datang ke Melaka sebagai lokasi tumpuan pelancong berakhir dengan tragedi kemalangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai yang pulang bercuti agar memastikan rumah ditinggalkan dalam keadaan selamat serta memaklumkan kepada balai polis berhampiran untuk pemantauan.

Katanya, pihak polis turut menyediakan pemantauan menerusi sistem Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dan rondaan berkala bagi mencegah kejadian jenayah.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan jumlah pendaftaran Volunteer Smartphone Patrol (VSP) di Melaka menunjukkan peningkatan sehingga hampir 80,000 setakat ini berbanding tahun lalu.