Jangan main mercun melebihi jam 12 tengah malam - KP Negeri Sembilan

Iklan
Alzafny

SEREMBAN - Penduduk di Negeri Sembilan dinasihatkan supaya tidak bermain mercun dan bunga api sempena Tahun Baharu Cina (TBC) melebihi jam 12 tengah malam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, individu yang gagal mematuhi peraturan tersebut sehingga mengganggu ketenteraman awam boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Iklan
Iklan

“Kita menyediakan satu pasukan di setiap daerah bagi menjalankan rondaan serta memantau aktiviti permainan mercun.

"Jadi, orang ramai ditegah daripada bermain mercun melebihi jam 12 tengah malam dan sekiranya berlaku pelanggaran, mereka akan diambil tindakan berlandaskan peruntukan undang-undang," katanya ketika ditemui pemberita selepas Pelancaran Op Selamat 25 TBC di Tol Senawang, di sini pada Isnin.

Iklan

Menurutnya, setiap permainan mercun perlulah diawasi oleh orang dewasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Pada masa sama, ujarnya, permainan mercun perlu dilakukan di kawasan lapang dan bukannya berdekatan dengan kediaman serta tempat yang berisiko menyebabkan kebakaran.

Iklan

"Kita tidak mahu dalam musim perayaan ini ada rungutan, kegusaran atau gangguan terhadap ketenteraman awam.

"Saya harap semua pihak sentiasa bersikap toleransi dan bertolak ansur. Jadikan musim perayaan ini sebagai suatu kenangan yang indah," katanya.

Dalam pada itu, Alzafny berkata, sebanyak 800,000 kenderaan dijangka memasuki Negeri Sembilan sempena cuti TBC.

Beliau berkata, sebanyak 12 lokasi panas kesesakan jalan raya di negeri ini telah dikenal pasti, manakala terdapat empat lokasi hitam yang sering berlaku kemalangan.

"Empat lokasi hitam tersebut ialah dua lokasi di Jalan Port Dickson-Lubuk Cina, Jalan Seremban-Kuala Pilah dan Jalan Seremban-Kuala Klawang-Simpang Pertang.

"Pada hari pertama Op Selamat dilaksanakan pada Ahad, sebanyak 111 kemalangan membabitkan dua kematian direkodkan," katanya.

Selain itu, katanya, sebanyak 22 permohonan Borang Balik Kampung telah diisi melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dan dua permohonan diisi di balai polis.