TIDAK semua orang menutup tahun dengan rasa bangga. Ada yang menutupnya dengan keletihan dengan doa yang belum terjawab dan dengan persoalan yang masih bersarang di hati.
Namun, jarang kita sedar bahawa mampu bertahan hingga ke hujung tahun itu sendiri adalah satu bentuk kekuatan yang tidak pernah kita raikan.
Tahun ini mengajar kita bahawa hidup tidak selalu memberi apa yang diminta, tetapi sering memberi apa yang perlu dipelajari.
Ada hari yang kita lalui dengan senyap, memaksa senyum walaupun hati sedang retak.
Ada malam yang kita habiskan dengan harapan agar esok datang bersama sedikit kelegaan.
Pakar psikologi menyifatkan keupayaan untuk terus berfungsi dalam tekanan sebagai daya lentur emosi atau resilience.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menekankan bahawa kesihatan mental bukan sekadar bebas daripada penyakit, tetapi keupayaan untuk menghadapi cabaran hidup dan terus bergerak ke hadapan, walau perlahan.
Menutup tahun dengan waras bermaksud kita berhenti menghukum diri sendiri atas perkara yang tidak menjadi.
Ia adalah keberanian untuk mengakui bahawa kita telah melakukan yang terbaik dengan kemampuan yang ada, walaupun hasilnya tidak seperti yang diimpikan.
Seperti yang pernah diungkapkan oleh pakar psikologi Austria, Viktor Frankl, “Apabila kita tidak mampu mengubah keadaan, kita dicabar untuk mengubah sikap kita terhadapnya.”
Membuka tahun baru dengan sedar pula bukan tentang janji besar atau perubahan drastik.
Ia tentang mendengar diri sendiri dengan lebih jujur, memahami bila perlu berhenti, bila perlu bertahan dan bila perlu melepaskan.
Tahun baru mungkin datang tanpa jaminan, tetapi kita masih punya pilihan.
Pilihan untuk hidup dengan lebih berbelas ihsan terhadap diri sendiri dan melangkah dengan harapan yang sederhana, namun tetap tulus.
Kadangkala, itu sudah cukup untuk meneruskan hidup dengan satu hari, satu langkah dan satu nafas pada satu masa.