Muhasabah hujung tahun: Sedar diri, buat perubahan

Iklan
Muhasabah mengingatkan bahawa perubahan tidak bermula pada angka tahun baharu, tetapi pada kesedaran dalam hati manusia. Gambar hiasan

SETIAP kali kalendar menghampiri hujung tahun, kita lazimnya sibuk menghitung pencapaian dan angka berapa banyak kejayaan dicapai, sasaran dipenuhi dan impian dilaksanakan.

Namun hakikatnya hujung tahun bukan semata-mata ruang untuk meraikan pencapaian, tetapi medan terbaik untuk bermuhasabah dengan menilai diri, memperbetulkan kelemahan dan memperbaiki kekhilafan yang mungkin terlepas pandang sekurang-kurangnya setahun yang lalu.

Iklan
Iklan

Muhasabah bukanlah soal menyalahkan pihak lain atau meratapi apa yang tidak menjadi, tetapi ia berkaitan dengan keberanian menatap kelemahan dengan jujur, keikhlasan mengakui kekurangan serta tekad untuk melangkah ke tahun baharu dengan hati yang lebih matang dan minda yang lebih insaf.

Dalam dunia yang semakin pantas bergerak, ramai yang terperangkap dalam budaya mengejar pencapaian lahiriah, sehingga terlupa menilai kebersihan jiwa, akhlak dan tanggungjawab terhadap masyarakat.

Iklan

Ada persoalan besar yang wajar direnung bersama, adakah kita semakin dekat dengan nilai insan, keadilan dan amanah? Atau kita semakin jauh dibawa arus sikap mementingkan diri sendiri, rakus dengan kuasa dan budaya menuding jari?

Di peringkat kepimpinan, muhasabah bermakna menilai semula integriti, dasar dan keutamaan agar rakyat atau orang yang berada di bawah tidak terus menjadi mangsa kelemahan pentadbiran.

Iklan

Dalam masyarakat pula, muhasabah menuntut kita kembali kepada prinsip hormat-menghormati, menolak budaya kebencian serta memperkuatkan semangat kebersamaan.

Apa yang lebih penting, muhasabah mengingatkan bahawa perubahan tidak bermula pada angka tahun baharu, tetapi pada kesedaran dalam hati manusia.

Jika kesilapan tidak diinsafi, ia akan berulang dalam wajah yang sama, hanya tahun yang berubah sedangkan jiwa masih di takuk lama.

Akhbar ini menyeru agar detik hujung tahun ini dimanfaatkan sebagai ruang refleksi diri, bukan sedakar menutup lembaran, tetapi membuka halaman baharu dengan tekad memperbaiki diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Semoga keinsafan yang lahir daripada muhasabah ini mampu membentuk kita menjadi insan yang lebih bertanggungjawab, lebih beradab dan lebih sedar diri.