PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat memberitahu bahawa, empat surat yang didakwa sebagai bukti derma daripada pemerintah Arab Saudi, semasa perbicaraan empat kes mengunakan kedudukan untuk rasuah dan 21 pengubahan wang haram (AMLA) dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM2.3 bilion sebagai palsu.
Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah yang bersidang di Istana Kehakiman di sini berkata, salinan asal surat berkenaan tidak pernah dikemukakan kepada mahkamah.
Menurutnya, tiada pengesahan dibuat barisan pembelaan yang mewakili Najib, 72, bagi memastikan dana itu dibuat pemerintah Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah.
“Surat itu palsu kerana ada keterangan menunjukkan wang tersebut sebenarnya berpunca daripada dana 1MDB.
“Ada jejak transaksi yang menunjukkan ia disalurkan melalui syarikat swasta Vista Equity, Blackstone dan Tanore, entiti yang dimiliki ahli kewangan buruan Eric Tan,” katanya.
Hakim berkata, menjadi suatu yang luar biasa apabila tiada surat balasan dihantar kepada keluarga diraja itu sebagai salah satu tanda berterima kasih di atas sumbangan yang diperoleh.
Lebih-lebih lagi katanya, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Riyadh, Arab Saudi pada 2013 gagal mengesahkan kesahihan surat sumbangan bagi menyokong pemberian dana berkenaan.
Collin yang mengangkat sumpah sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 3 Disember lalu berkata, mahkamah mendapati dana tersebut boleh dianggap sangat mencurigakan.
Susulan itu katanya, mahkamah menolak hujahan pembelaan bahawa dana RM2.3 bilion itu sebagai derma kerajaan Arab Saudi.
Selepas tiga jam membaca dapatan keputusan 25 kes penyelewengan dana 1MDB, beliau menangguhkan prosiding pada jam 12.15 tengah hari bagi memberi ruang kepada solat Jumaat.
“Prosiding bersambung jam 3 petang dan saya masih memerlukan masa selama satu jam untuk membaca baki keputusan berkenaan,” katanya.
Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib; Datuk Kamal Baharin Omar; Mohamad Mustaffa P Kunyalam; Deepa Nair Thevaharan; Nadia Mohd Izhar; Najwa Bistamam; Hazmida Harris Lee dan Siti Aina Rodhiah Shikh Md Saud.
Sementara pembelaan bagi Najib diwakili peguam-peguam antaranya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah; Datuk Tania Scivetti; Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Muhammad Farhan Muhammad Shafee; Wan Mohammad Arfan Wan Othman dan Effa Azuin.
Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama antara 2011 hingga 2014.
Kesalahan didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon Kuala Lumpur antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.
Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac dengan 30 Ogos 2013.
Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.