'Saya dah jangka mayat dalam beg itu Mak Su, itulah beg yang selalu Mak Su guna pergi bercuti'

Iklan
Ahli keluarga Suri tidak dapat menahan sebak ketika tiba di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau.

REMBAU – Anak saudara kepada wanita yang mati dibunuh dan mayatnya ditemui di dalam beg di sebuah rumah di Rembau pada 18 Disember lalu berkata, dia sudah menjangka mayat berkenaan adalah ibu saudaranya selepas melihat saiz bagasi yang digunakan.

Lelaki yang mahu dikenali sebagai Mizan, 41, berkata, jangkaan itu dibuat kerana bagasi berkenaan sering digunakan oleh ibu saudaranya, Suri Narudin, 53 atau  Mak Su setiap kali wanita itu pergi bercuti.

Iklan
Iklan

“Bila lihat saiz bagasi itu, saya memang sudah dapat agak. Itulah bagasi yang selalu Mak Su bawa bila pergi bercuti.

Mizan

Iklan

“Cuma tak sangka pengakhiran hidup ibu saudara saya begini, sedangkan dia seorang yang sangat baik, pemurah dan periang,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Rembau pada Rabu.

Menurut Mizan, sepanjang tempoh Suri dilaporkan hilang, dia tidak dapat melelapkan mata memikirkan keadaan dan nasib yang menimpa ibu saudaranya itu.

Iklan

“Saya berdoa agar pelaku dikenakan hukuman yang setimpal atas perbuatan kejam ini. Apa yang berlaku langsung tidak boleh diterima oleh sesiapa pun.

“Namun alhamdulillah, berkat doa semua, akhirnya segalanya terbongkar dan disahkan bahawa mayat dalam beg itu adalah ibu saudara saya,” katanya.

Mizan tiba di hospital kira-kira jam 3 petang bersama ahli keluarga lain dan kenalan Allahyarham bagi urusan pengurusan jenazah.

Turut kelihatan hadir di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau ialah rakan rapat Allahyarham, penyanyi era 90-an, Mac Ruhayu Mohd Nor.

Mizan berkata, kali terakhir dia bertemu Suri adalah pada Oktober lalu dan Allahyarham sempat menghantar mesej bertanyakan khabar selepas mengetahui ayahnya tidak sihat.

“Arwah juga pernah beritahu saya hasratnya untuk ke luar negara. Dia memang suka melancong,” katanya.

Dia turut merakamkan penghargaan terhadap tindakan pantas dan cekap pihak polis dalam menjalankan siasatan kes berkenaan.

Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Rembau.

Ahli keluarga Suri tidak dapat menahan sebak ketika tiba di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau bagi proses pengecaman dan pengurusan jenazah.

Terdahulu, media melaporkan polis mengesahkan mayat yang ditemui dalam beg yang ditanam berhampiran sebuah rumah kosong di Kampung Batu 4 Pedas, Rembau adalah Suri Narudin.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dilaporkan berkata, pengesahan identiti dibuat melalui cap jari yang sepadan dengan rekod di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Beliau turut mengesahkan laporan analisis Jabatan Kimia Malaysia telah diterima dan mendapati profil spesimen yang dianalisis menunjukkan hubungan kekeluargaan terdekat dengan sampel DNA waris mangsa.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis sah mayat wanita dalam beg adalah Suri

Suspek utama dibawa ke lokasi penemuan mayat wanita dalam beg

Mayat wanita dalam beg: Penduduk dakwa suspek sudah berkahwin baharu dengan wanita Sarawak

Keluarga kenal suspek utama, dakwa hanya teman lelaki Suri

'Suspek masih ambil anak saya dari sekolah selepas makcik hilang' - Anak saudara Suri

Mayat wanita dalam beg: Mangsa, suspek dipercayai bertengkar kerana wang