PILIHAN raya sering menjadi medan rakyat menilai janji dalam manifesto calon dan parti politik.
Namun, realiti pentadbiran menuntut kerajaan mengukur kemampuan kewangan, struktur ekonomi dan keperluan jangka panjang negara.
Maka tidak semua janji boleh direalisasikan sepenuhnya. Misalnya janji memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang kini kembali hangat diperbincangkan.
PTPTN bukan sekadar skim pinjaman sebaliknya mekanisme utama membiayai pendidikan tinggi bagi ratusan ribu pelajar setiap tahun.
Pemansuhan tanpa mekanisme gantian akan menjejaskan peluang pendidikan generasi baharu dan kestabilan kewangan negara.
Meskipun tidak berjaya menunaikan janji itu tapi kerajaan melaksanakan pendekatan lebih realistik dengan menyediakan penangguhan bayaran balik, diskaun penyelesaian hutang dan bantuan bersasar kepada peminjam berpendapatan rendah.
Begitu juga janji memansuhkan tol kerana ia melibatkan perjanjian konsesi jangka panjang antara kerajaan dan pengendali lebuh raya dengan pampasan bernilai berbilion ringgit.
Kewangan negara yang terhad menjadikan langkah itu sukar dilaksanakan secara menyeluruh.
Selain itu, janji mewujudkan peluang pekerjaan bergaji tinggi dalam tempoh singkat turut menghadapi cabaran tersendiri.
Kerajaan boleh menyediakan dasar dan insentif untuk menarik pelaburan tetapi penciptaan pekerjaan berkualiti memerlukan masa, pelaburan berterusan dan kerjasama sektor swasta serta agensi pendidikan.
Kesemua contoh itu menunjukkan bahawa jurang antara janji pilihan raya dan realiti pentadbiran.
Kegagalan menunaikan janji bukan pengkhianatan terhadap rakyat sebaliknya peluang untuk kerajaan menjelaskan kekangan sebenar dan menawarkan alternatif yang lebih mampan.
Rakyat perlu sedar bahawa janji pilihan raya bukan tiket segera untuk perubahan mutlak tetapi satu aspirasi.
Kejujuran, integriti dan keberanian melakukan reformasi adalah penentu janji pilihan raya bakal diterjemahkan manfaat rakyat atau sebaliknya.