Ops Perang Zon Utara: JPJ periksa 13,902 kenderaan, keluarkan 4,513 saman

Iklan
Stien Van Lutam memeriksa sebuah kenderaan yang dikatakan salah guna permit.

BALING – Sebanyak 13,902 pemeriksaan ke atas kenderaan perdagangan telah dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Ops Perang Zon Utara setakat ini, dengan sebanyak 4,513 saman dikeluarkan, termasuk 45 kes melibatkan kesalahan lebih muatan.

Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, daripada jumlah tersebut, tiga kes direkodkan membabitkan muatan melebihi 50 peratus had yang dibenarkan, yang boleh membawa kepada tindakan pendakwaan dan lucut hak kenderaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Ops Perang dilaksanakan secara berterusan di semua daerah melalui rondaan bergerak dan operasi statik di lokasi strategik serta laluan utama, khususnya laluan logistik dan kawasan berisiko tinggi.

Sebuah kenderaan diperiksa kerana didapati membawa lebih muatan.

Iklan

“Bagi kesalahan lebih muatan melebihi 50 peratus, tindakan pendakwaan akan diambil di bawah Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

“Jika disabitkan kesalahan, mahkamah boleh melucut hak kenderaan terbabit selain pemandu dan pemilik berdepan dengan denda berat serta tindakan lanjut terhadap lesen dan permit,” katanya di Stesen Penguat Kuasa JPJ di Kuala Ketil di sini pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata, kesalahan membawa muatan berlebihan bukan sahaja membahayakan keselamatan pengguna jalan raya, malah turut menyebabkan kerosakan kepada infrastruktur awam seperti jalan raya dan jambatan.

Tambah beliau, JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, dan tindakan tegas akan diambil selaras dengan peruntukan sedia ada.

Stien Van Lutam menunjukkan permit kenderaan yang dipercayai salah guna oleh syarikat perdagangan.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pengusaha dan pemandu kenderaan perdagangan agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan serta memastikan muatan dibawa tidak melebihi had yang dibenarkan.

Dalam pada itu beliau berkata, JPJ Kedah berjaya mengutip sebanyak RM23.39 juta bayaran saman, membabitkan 121,694 notis yang telah dikeluarkan sejak Januari lalu.