KUANTAN - Lumpur dan sisa banjir yang masih tertinggal di lantai rumah penduduk di Taman Guru mula dibersihkan selepas mereka dibenarkan kembali ke rumah masing-masing susulan kejadian banjir sejak Selasa lalu.
Tinjauan Sinar Harian mendapati kebanyakan rumah sudah boleh dimasuki semula oleh penduduk, manakala timbunan sampah kesan banjir dikumpulkan di hadapan rumah untuk proses pembuangan.
Seorang pesara, Amiruddin Ishak, 62, berkata, kerja pembersihan dilakukan selepas keadaan rumah mula kering sepenuhnya.
“Semalam (Sabtu) rumah mula kering dan hari ini kami mula membersihkan rumah yang digenangi air beberapa hari lalu.
“Kerja pembersihan ini dibantu oleh pasukan Parlimen Kuantan bersama Jabatan Amal Malaysia dan Relief Global,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Guru di sini pada Ahad.
Amiruddin menjelaskan, banjir kali ini hanya setinggi paras lutut dan keadaan itu menyebabkan lumpur tidak terlalu tebal, sekali gus memudahkan proses pembersihan.
“Alhamdulillah, dengan bantuan mereka dan kemahiran yang ada, rumah kami dapat dibersihkan dalam masa dua jam sahaja. Keadaan rumah juga tidak terlalu teruk, jadi mudah untuk dibersihkan,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pekerja swasta, Hermawan Saridi Bomadi, 34, mengakui reda menghadapi banjir buat kali kedua selepas rumahnya turut ditenggelami air.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, kerja pembersihan hanya dimulakan selepas air banjir surut sepenuhnya.
“Saya baru sempat menyemak barangan kecil dalam rumah, manakala peti ais dan mesin basuh masih belum diperiksa lagi keadaannya.
“Jadi, saya dan isteri mulakan kerja membersihkan rumah secara perlahan-lahan hari ini,” katanya.
Bagi kontraktor, Muhammad Tashrif Abdul Jabar, 40, keadaan rumahnya kali ini tidak seteruk sebelum ini walaupun paras air mencecah setinggi lutut.
“Peti ais saya reda sahaja. Karpet dan beberapa barangan lain selamat kerana saya sudah letak atas meja.
“Tilam pun saya naikkan atas bata, jadi ia tidak terkena air. Jadi, kerja mencuci rumah hari ini seperti biasa dan insya-ALLAH, sehari sahaja selesai,” katanya.
Muhammad Tashrif menjelaskan, persediaan awal yang dibuat berdasarkan pengalaman banjir sebelum ini banyak membantu mengurangkan kerosakan.
“Kali ini banjir tidak seteruk dulu. Langkah mengangkat perabot dan barangan penting membolehkan banyak harta benda terselamat,” ujarnya.