KOTA KINABALU – Seorang bayi yang dipercayai baru dilahirkan ditemui dalam keadaan berbungkus dengan plastik dan tuala di kawasan Taman Awam Teluk Likas di sini pada pagi Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, bayi berkenaan ditemukan oleh orang awam yang kebetulan melalui kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda mengesahkan bahawa pihaknya menerima laporan berhubung penemuan bayi itu.
“Makluman awal diterima menerusi panggilan telefon daripada seorang orang awam yang memaklumkan mengenai penemuan bayi tersebut di kawasan berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati bayi berkenaan dipercayai baru dilahirkan beberapa jam sebelum dijumpai dalam keadaan berbungkus dengan plastik hitam dan tuala berwarna kelabu,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau, bayi tersebut ditemui dalam keadaan masih bernyawa, selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pihak ambulans telah segera dipanggil ke lokasi dan bayi berkenaan telah dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas (HWKKL) untuk mendapatkan rawatan serta pemeriksaan lanjut.
“Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada saksi yang melihat kejadian tersebut dan tiada kemudahan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi, dan usaha mengesan individu yang bertanggungjawab sedang giat dijalankan.
“Kejadian ini turut dimaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tindakan susulan berkaitan kebajikan bayi tersebut.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat SM Rosmah Pg Hasim di talian 011-31677612.
“Dalam masa yang sama, orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menghormati privasi semua pihak yang terlibat,” katanya.