KOTA KINABALU - Seorang lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik semasa melakukan kerja mengecat rumah dalam kejadian di Kampung Likas di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, mangsa dikenali sebagai Vitoi berusia 40-an terbakar dan mengalami putus pergelangan tangan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.03 pagi.
Katanya, seramai 10 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh tiga kilometer dari BBP Lintas.
"Menurut laporan, seorang mangsa lelaki terkena renjatan elektrik semasa menjalankan kerja-kerja mengecat rumah.
"Mangsa terbakar dan putus pergelangan tangan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan," katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tidakan lanjut.
"Operasi kemudian ditamatkan selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian," katanya.