BAYAN LEPAS – Selepas lebih 26 bulan projek penambakan Pulau Silikon dilaksanakan, ratusan nelayan di daerah Barat Daya mendakwa masih berdepan pelbagai tekanan termasuk kejatuhan hasil tangkapan, peningkatan kos operasi serta kelewatan pampasan yang dijanjikan.
Presiden Nasional Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dominic Lau berkata, walaupun projek penambakan yang bermula pada September 2023 itu dilaksanakan dengan pantas, penyelesaian isu nelayan pula berjalan terlalu perlahan meskipun aduan telah berulang kali dikemukakan.
“Penambakan Pulau Silikon sudah berjalan lebih 26 bulan, namun sehingga hari ini isu nelayan masih belum diselesaikan secara tuntas.
“Nelayan semakin terhimpit apabila hasil tangkapan merosot, kos operasi meningkat dan laluan menangkap ikan turut terganggu,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Nelayan Teluk Kumbar, di sini pada Ahad.
Menurutnya, antara isu utama ialah kegagalan kerajaan menyalurkan pampasan bot dan enjin seperti yang dijanjikan kepada nelayan terjejas.
“Daripada 295 nelayan aktif berlesen di kawasan Barat Daya, hanya 118 orang menerima bot dan enjin setakat Ogos 2025.
“Ini bermakna kurang daripada 50 peratus nelayan menerima pampasan walaupun projek telah lama bermula,” katanya.
Tambahnya, nelayan tanpa lesen atau permohonan lesen yang masih belum diluluskan langsung tidak layak menerima pampasan, subsidi petrol atau bantuan tunai, sekali gus memburukkan lagi keadaan hidup mereka.
Beliau turut membangkitkan kemelut permohonan lesen nelayan yang didakwa tergantung bertahun-tahun tanpa penjelasan jelas daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
“Tanpa lesen, nelayan bukan sahaja tidak layak menerima subsidi petrol dan pampasan, malah berdepan risiko ditahan serta didenda oleh pihak penguat kuasa maritim.
“LKIM sepatutnya membantu nelayan, bukannya menyulitkan mereka,” tegasnya.
Dalam pada itu, Dominic menjelaskan kos petrol tanpa subsidi memberi kesan besar kepada nelayan tidak berlesen, dengan perbezaan perbelanjaan mencecah lebih RM1,100 sebulan.
“Jika penggunaan sekitar 40 liter sehari selama 26 hari, nelayan terpaksa membayar RM2,704 sebulan tanpa subsidi berbanding RM1,560 dengan subsidi. Perbezaan ini amat membebankan,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan rampasan bot serta denda ribuan ringgit yang dikenakan ke atas nelayan tanpa lesen.
“Masalah ini hanya menambah kesempitan hidup apabila bot dirampas dan tidak dapat ditebus semula kerana ketidakmampuan membayar denda,” ujarnya.
Sementara itu, seorang nelayan, Lee Ah Joe, 67, berkata, isu kupon jaring bernilai RM350 juga mengelirukan dan didakwa tidak diagihkan secara adil.
“Dimaklumkan sebanyak RM500,000 diperuntukkan untuk kupon ini, namun hanya nelayan di lokasi tertentu menerima manfaat.
“Lebih membingungkan, wujud aduan mengenai kupon palsu dan peniaga yang tidak dibayar oleh kerajaan,” katanya.
Menurut Ah Joe, nelayan turut meminta penjelasan berhubung kewujudan dua jenis kupon berbeza yang dikeluarkan oleh LKIM dan Pejabat Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi tanpa maklumat jelas mengenai nilai serta tujuan penggunaannya.
“Ada nelayan yang tidak boleh menebus kupon yang dikeluarkan oleh Pejabat Exco dan sebaliknya diberikan kupon LKIM.
“Namun ketika kupon LKIM diberikan, kami tidak dimaklumkan kegunaannya. Ini menimbulkan kekeliruan mengenai status kupon yang dikeluarkan oleh Pejabat Exco sama ada masih boleh ditebus atau tidak,” katanya.
Selain itu, Dominic turut membangkitkan beberapa isu lain termasuk caj RM1 hingga RM2 bagi proses cop minyak subsidi, potongan elaun sara hidup nelayan, keberkesanan skim insurans yang dipotong daripada bantuan tahunan serta harga belian ikan oleh LKIM yang tidak berubah sejak tujuh hingga lapan tahun lalu walaupun kos operasi semakin meningkat.
“Saya juga menerima aduan mengenai kemudahan jeti nelayan yang rosak dan tidak dibaiki.
“Kesemua isu ini membuktikan masalah nelayan di Barat Daya bersifat menyeluruh dan memerlukan tindakan segera,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Pulau Pinang, LKIM dan agensi berkaitan supaya memberikan penjelasan secara telus serta mengambil langkah segera bagi menyelesaikan kesemua isu yang dibangkitkan demi kelangsungan hidup nelayan tempatan.
Pulau Silikon ialah pulau buatan manusia di selatan Pulau Pinang yang merupakan sebahagian daripada Projek Pulau Pinang Selatan (PSI).
Projek itu bertujuan membangunkan hab teknologi tinggi sebagai lanjutan Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas, selain menawarkan peluang pekerjaan, pembangunan infrastruktur dan teknologi hijau.
Penambakan bermula pada 2023 dan disasarkan siap secara berperingkat sehingga 2032, termasuk pelaksanaan manfaat sosial seperti program peningkatan kemahiran nelayan.