Dana zakat MAINPP diurus secara kolektif, bukan keputusan individu

Iklan
Mohamad ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah (MAPAF) dan Sumbangan Ihya’ Ramadan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, pada Selasa.

KEPALA BATAS - Semua keputusan membabitkan pengurusan dana zakat dibuat secara kolektif oleh Ahli Lembaga Pengarah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan bukan ditentukan oleh mana-mana individu.

Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, setiap keputusan perlu melalui proses yang ketat serta mematuhi prinsip urus tadbir yang baik sebelum diluluskan dalam mesyuarat rasmi Lembaga Pengarah Zakat MAINPP.

Iklan
Iklan

Berikutan itu, katanya, siasatan yang sedang dijalankan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika ini tidak terarah kepada beliau secara peribadi, sebaliknya melibatkan institusi MAINPP secara keseluruhan.

"Segala-galanya melalui proses yang betul. Contohnya, keputusan Lembaga Pengarah Zakat mengenai bantuan asnaf dan pembelian tanah menggunakan dana tawakuf (tanah lebihan) telah diputuskan dalam mesyuarat MAINPP.

Iklan

"Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang, Pegawai Kewangan Negeri.

"Semua perkara berkaitan bantuan kepada asnaf, penggunaan dana zakat serta urusan pembelian tanah atau aset dibincangkan dan diputuskan secara bersama.

Iklan

"Semua keputusan tersebut kemudiannya akan dibawa ke peringkat MAINPP untuk dimaklumkan serta diperakukan mengikut prosedur sedia ada," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah (MAPAF) dan Sumbangan Ihya’ Ramadan Kerajaan Negeri Pulau Pinang di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenani desakan Pas Pulau Pinang yang mahukannya meletakkan jawatan serta-merta daripada semua jawatan berkaitan pentadbiran dan kepimpinan institusi agama Islam di negeri ini.

Ia berikutan dakwaan amalan kronisme, nepotisme dan salah guna kuasa yang didakwa menjejaskan amanah umat Islam termasuk pengurusan dana zakat dan wakaf bernilai jutaan ringgit.

Menjawab mengenai perkara itu, Mohamad yang juga Yang Dipertua MAINPP menegaskan, dakwaan kononnya terdapat keputusan dibuat secara bersendirian oleh individu tertentu adalah tidak berasas dan sengaja diwujudkan bagi menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi pengurusan zakat di negeri ini.

"Segala urusan dilaksanakan secara telus dan berintegriti.

"Setiap ahli mempunyai peranan dan tanggungjawab dalam memastikan keputusan yang dibuat memberi manfaat kepada golongan asnaf serta masyarakat Islam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa MAINPP dan Zakat MAINPP akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam sebarang siasatan yang dijalankan, termasuk menyerahkan dokumen berkaitan serta membenarkan pegawai terlibat memberi keterangan.

"Saya sendiri sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama sekiranya diperlukan.

"Tidak ada apa yang perlu disembunyikan kerana semua proses dilaksanakan mengikut garis panduan dan undang-undang yang ditetapkan," katanya.