Kilang proses piala, medal plastik musnah dalam kebakaran

Iklan
Sebuah kilang membuat piala dan medal plastik di Lebuhraya Kampung Jawa, Bayan Lepas musnah dalam kebakaran pada Selasa. Foto JBPM Pulau Pinang

GEORGE TOWN - Sebuah kilang membuat piala dan medal plastik di Lebuhraya Kampung Jawa, Kawasan Perindustrian Bayan Lepas, dekat sini musnah dalam kebakaran yang berlaku pagi Selasa.

Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.10 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru digerakkan ke lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Kebakaran melibatkan bangunan dengan keluasan 232 meter persegi dan bahan mudah terbakar. Foto JBPM Pulau Pinang

"Kebakaran melibatkan sebuah bangunan kilang dengan anggaran keluasan 232 meter persegi. Kebakaran turut melibatkan tempat penyimpanan bahan mudah terbakar termasuk thinner (pencair), primer, hexane (heksana) dan bahan pewarna (colour pigment) di dalam premis tersebut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Berikutan itu, beliau berkata, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) turut digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan keselamatan dengan melakukan bacaan parameter untuk memastikan tiada kebocoran bahan kimia pada tangki simpanan kilang berkenaan.

Kerja 'overhaul' dijalankan bagi memastikan tiada sebarang unsur yang boleh mendatangkan bahaya di kawasan kebakaran. Foto JBPM Pulau Pinang

Iklan

John Sagun berkata, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 11.40 pagi dan kerja"overhaul" dijalankan bagi memastikan tiada sebarang unsur yang boleh mendatangkan bahaya di kawasan kebakaran.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 12.26 tengah hari. - Benama