JAKARTA - Satu rakaman video pendek yang tular di media sosial mencetuskan kontroversi apabila memaparkan Ketua Badan Gizi Nasional (BGN) Indonesia, Dadan Hindayana dilihat bermain golf ketika beberapa wilayah di Sumatera sedang dilanda bencana banjir dan tanah runtuh.
Video berdurasi kira-kira 14 saat itu dimuat naik di Instagram dan menerima reaksi meluas warganet, kerana ia tersebar ketika tumpuan kerajaan Indonesia sedang terarah kepada usaha menangani krisis kemanusiaan di Aceh serta beberapa negeri lain di Sumatera.
Rakaman tersebut menunjukkan seorang lelaki berkaca mata hitam, berbaju hijau berada di sebuah padang golf bersama beberapa individu lain.
Naratif yang mengiringi video berkenaan mendakwa aktiviti itu dilakukan ketika kepimpinan negara sedang memberi perhatian penuh terhadap bencana alam yang menjejaskan ribuan penduduk.
Susulan kritikan awam, Dadan Hindayana pada Khamis tampil memberikan penjelasan rasmi bagi meredakan kekeliruan yang timbul.
Menurut beliau, kehadirannya di lokasi berkenaan adalah sempena kejohanan golf tahunan Persatuan Golf Alumni Institut Pertanian Bogor (PGA IPB) yang telah dirancang lebih awal dan dianjurkan secara berkala setiap hujung tahun.
Dadan menjelaskan, kejohanan tersebut bukan bersifat hiburan semata-mata, sebaliknya bertujuan mengumpul dana kebajikan dan bantuan kemanusiaan termasuk bagi mangsa bencana di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat.
“Tahun ini, kejohanan itu turut menjadi platform pengumpulan dana untuk bantuan bencana serta program biasiswa,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan kehadirannya adalah atas kapasiti sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah PGA IPB, selain menyatakan komitmen alumni terhadap usaha meringankan beban masyarakat terjejas.
Walaupun demikian, Dadan mengakui penularan video tersebut tanpa konteks lengkap telah mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat, terutama ketika emosi awam tertumpu kepada penderitaan mangsa bencana.
Insiden ini sekali lagi mencerminkan bagaimana kandungan media sosial yang terhad dan terpisah daripada konteks sebenar mampu membentuk tanggapan awam dengan pantas, sekali gus menuntut kepekaan tinggi daripada penjawat awam dalam mengurus persepsi serta komunikasi krisis.-Agensi