Riau isytihar amaran darurat

Iklan
Beberapa kawasan sudah mula diselubungi jerebu.

PEKANBARU - Pentadbiran wilayah Riau di Indonesia mengisytiharkan amaran darurat kebakaran hutan hingga akhir November depan selepas beberapa kawasan mula diselubungi jerebu.

Ketua Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Riau, M Edy Afrizal berkata, keputusan itu ditandatangani pemangku Gabenor, SF Hariyanto susulan peningkatan risiko api makin marak akibat cuaca semakin kering.

Iklan
Iklan

“Ia diputuskan melalui mesyuarat agensi berkaitan dan Forum Pimpinan Daerah. Taburan hujan semakin berkurangan dan mengancam banyak kawasan. Ia sebahagian daripada langkah pencegahan awal,” katanya.

BPBD turut meminta bantuan pemerintah pusat termasuk helikopter pengebom air, rondaan udara dan operasi modifikasi cuaca.

Iklan

“Usaha mengawal kebakaran daripada terus merebak memerlukan tindakan lebih intensif dan menyeluruh,” katanya.

Kebakaran dilaporkan berlaku di kawasan pesisir dan tanah gambut seperti Pelalawan, Indragiri Hilir, Rokan Hilir, Bengkalis dan bandar Dumai.

Iklan

Sementara itu, Stesen Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) di Lapangan Terbang Sultan Syarif Kasim II turut merekodkan peningkatan titik panas sepanjang minggu lalu.

Jumlah tertinggi adalah pada Jumaat lalu dengan 280 titik panas dicatatkan.

Jurucakap BMKG, Bibin S memaklumkan peningkatan itu selari dengan permulaan musim kering yang dijangka berlanjutan hingga pertengahan bulan depan.

“Walaupun mungkin ada hujan sekali sekala, corak cuaca kini adalah lebih kering berbanding sebelum ini. Keadaan itu meningkatkan risiko kebakaran khususnya di kawasan tanah gambut dalam tempoh beberapa minggu akan datang,” katanya. - Agensi