'Tak wajar promosi perceraian sebagai jalan pintas' - Menteri Agama

Iklan
Zulkifli - Foto fail SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM - Perceraian tidak wajar dipromosikan sebagai jalan pintas sebaliknya, pasangan yang berdepan krisis rumah tangga digalakkan mendapatkan bimbingan profesional melalui saluran sah dan berautoriti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, kewujudan atau promosi perkhidmatan tertentu yang menggunakan penjenamaan seperti 'coach cerai' telah menarik perhatian masyarakat dan menimbulkan kekeliruan terhadap pendekatan sebenar Islam dalam menangani konflik rumah tangga serta krisis perkahwinan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebarang usaha yang secara langsung atau tidak langsung memudahkan perceraian suami isteri tanpa melalui proses islah, nasihat dan rundingan adalah berisiko menormalisasikan perpisahan.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan memandang serius kemuliaan dan kedudukan tinggi institusi perkahwinan dalam Islam yang menuntut agar apa jua naratif, pendekatan mahupun istilah berkaitan perceraian ditangani dengan berhati-hati, beretika dan bertanggungjawab.

Iklan

“Dalam pemeliharaan institusi keluarga Islam, perkahwinan merupakan satu amanah agama yang mempunyai implikasi besar terhadap kesejahteraan emosi, sosial dan spiritual pasangan serta anak-anak.

“Tanpa melalui proses islah, nasihat dan rundingan yang tersusun, ia berisiko menormalisasikan perceraian sebagai jalan pintas, sekali gus meremehkan nilai kesabaran serta tanggungjawab yang digariskan dalam ajaran Islam.

Iklan

“Saya ingin menasihati semua pihak agar berhati-hati dalam menggunakan istilah dan pendekatan berkaitan kekeluargaan Islam supaya tidak menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas penglibatan individu yang menggelarkan dirinya sebagai 'coach cerai' dalam prosiding perceraian pelakon Uqasha Senrose dan Kamal Adli sehingga kisah rumah tangga pasangan itu menjadi tular dan bualan ramai.

Kamal, ketika ditemui media di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada Khamis, meminta 'coach cerai' supaya berlaku adil dengan mendengar penjelasan daripada kedua-dua pihak dan bukan hanya sebelah pihak sahaja.

Aktor itu juga menuntut isterinya, Uqasha untuk tampil bersemuka bagi menyelesaikan segala perselisihan faham berbanding menyebarkan hal peribadi mereka di media sosial dan dalam kalangan kenalan luar.

Mengulas lanjut, Zulkifli memaklumkan bahawa Jabatan Agama Islam Negeri-negeri sebagai pihak berkuasa agama menyediakan khidmat runding cara dan nasihat kepada pasangan suami isteri melalui kaunselor bertauliah serta pegawai hal ehwal Islam yang berautoriti.

Jelasnya, penyelesaian konflik rumah tangga perlu dilaksanakan secara berperingkat dan berlandaskan syariah, merangkumi nasihat, proses sulh, pelantikan orang tengah daripada kedua-dua keluarga serta bimbingan kaunseling, sebelum sebarang keputusan besar seperti perceraian dibuat.

“Khidmat ini boleh diperoleh di Pejabat Agama Islam Negeri dan Mahkamah Rendah Syariah Negeri.

“Antara inisiatif yang disediakan oleh agensi hal ehwal agama di bawah saya seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ialah KSK Care Centre (KSKCC) yang menawarkan khidmat kaunseling berstruktur, profesional dan berlandaskan pendekatan syariah.

“Ia bertujuan membantu pasangan mengenal pasti punca konflik, memperbaiki komunikasi serta mencari penyelesaian yang adil dan seimbang.

“Selain itu, Jakim dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut menyediakan Kursus Pasca Perkahwinan Islam sebagai platform bimbingan berterusan untuk mengukuhkan kefahaman terhadap tanggungjawab, hikmah perkahwinan serta keharmonian rumah tangga,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau meminta semua pihak agar menghormati proses undang-undang, menjaga adab dan etika dalam perbincangan serta mengelakkan sebarang bentuk spekulasi yang boleh menjejaskan maruah individu mahupun keharmonian masyarakat.

“Saya bersama agensi hal ehwal agama sentiasa komited memperkukuh program pendidikan keluarga, kaunseling dan advokasi kekeluargaan selaras prinsip Maqasid Syariah serta aspirasi Malaysia Madani.

“Ini demi memastikan institusi keluarga kekal sebagai teras utama kesejahteraan ummah dan pembangunan negara,” jelasnya lagi.