NEW YORK - Tujuh orang maut pada Khamis selepas sebuah jet kecil mengalami nahas di sebuah lapangan terbang wilayah di Statesville, North Carolina, lapor Xinhua memetik kenyataan polis.
Menurut pihak polis, antara yang terkorban dalam nahas itu termasuk bekas pemandu NASCAR (National Association for Stock Car Auto Racing), Greg Biffle, isteri serta dua orang anak mereka.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) memaklumkan jet jenis Cessna C550 itu mengalami nahas kira-kira jam 10.20 pagi waktu tempatan semasa sedang mendarat, yang kemudiannya mencetuskan kebakaran besar.
Berdasarkan laman sesawang penjejakan penerbangan FlightAware, pesawat itu berlepas dari lapangan terbang berkenaan sejurus selepas pukul 10 pagi, namun berpatah balik dan cuba mendarat semula di lokasi sama.
Rakaman video menunjukkan pasukan penyelamat bergegas ke landasan ketika serpihan pesawat yang bertaburan sedang dijilat api.
Pengurus Lapangan Terbang Wilayah Statesville John Ferguson memberitahu pemberita bahawa FAA kini mengambil alih lokasi nahas untuk siasatan lanjut.
"Lapangan terbang kini ditutup sehingga diberitahu kelak. Ia akan mengambil sedikit masa untuk membersihkan serpihan dari landasan bagi memastikan ia selamat semula," katanya.
FAA berkata, agensi itu bersama Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) sedang melancarkan siasatan terperinci mengenai punca kemalangan itu. - Bernama