Bencana bukan pentas ego, kebajikan rakyat perlu diutamakan

Iklan
Penduduk terpaksa menaiki bot untuk menyeberangi sungai selepas jambatan yang menghubungkan perkampungan mereka musnah dibawa arus deras banjir.

DALAM setiap bencana besar, pihak yang paling terkesan bukanlah kerajaan atau pemimpin, sebaliknya rakyat biasa yang kehilangan tempat tinggal, sumber pendapatan dan keselamatan hidup.

Ketika air bah melanda dan kerosakan semakin parah, mangsa hanya mengharapkan satu perkara iaitu bantuan yang mampu meringankan beban dan mempercepatkan proses pemulihan.

Iklan
Iklan

Walaupun bencana dahsyat pada akhir November lepas berlaku di Indonesia hingga telah meragut lebih 1,000 nyawa, realitinya ia turut menyentuh hati dan nurani rakyat Malaysia.

Hubungan sejarah, budaya dan persaudaraan serumpun menjadikan penderitaan di negara jiran bukan sesuatu yang asing, malah dirasai sebagai kesedihan bersama.

Iklan

Justeru, apabila musibah melanda, naluri untuk membantu lahir bukan atas kepentingan politik, tetapi atas dasar kemanusiaan daripada rakyat Malaysia.

Di sebalik penderitaan rakyat, pemimpin bagaimanapun memilih menolak bantuan asing atas alasan menjaga maruah, ada pula mengatakan bantuan luar sebagai kecil ataupun tidak seberapa.

Iklan

Menteri Dalam Negeri Indonesia, Tito Karnavian berkata, bantuan yang diperkatakan secara meluas itu bukan disumbangkan oleh kerajaan Malaysia, sebaliknya datang daripada pihak swasta atas dasar simpati dan hubungan tertentu.

Tito memberitahu, bantuan berkenaan kebanyakannya melibatkan bekalan ubat-ubatan dengan nilai kira-kira RM300,000, jumlah yang dianggap kecil jika dibandingkan dengan skala bencana serta kemampuan kerajaan.

Kenyataan sedemikian dikhuatiri secara tidak langsung mengalihkan fokus daripada keperluan mendesak mangsa di lapangan.

Walaupun bencana berlaku di Indonesia, kenyataan merendahkan dan menolak bantuan luar menimbulkan persoalan tentang keutamaan sebenar kepimpinan, sedangkan bagi mangsa, bantuan tidak diukur dengan nilai wang tetapi keikhlasan dan kecepatan tindakan.

Bagi rakyat, apa yang lebih bermakna ialah bekalan makanan, ubat-ubatan dan kehadiran pihak yang sanggup membantu tanpa syarat.

Apatah lagi, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memberitahu, segala aktiviti di kawasan terjejas banjir di Sumatera akan kembali seperti biasa dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang.

Apabila pemulihan dijangka mengambil masa yang panjang, setiap bentuk bantuan menjadi signifikan.

Dalam keadaan ini, bantuan dari Malaysia tidak kira sama daripada pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya wajar dilihat sebagai sokongan ikhlas negara jiran.

Bagaimanapun, Jakarta masih kekal tidak buka akses bantuan luar dan mahu menguruskan bencana sendiri, manakala Aceh secara rasmi telah memohon bantuan daripada Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) bagi menyokong usaha pemulihan pasca bencana.

Menerima bantuan ketika darurat bukan tanda kelemahan, sebaliknya bukti keutamaan diberikan kepada nyawa dan kesejahteraan rakyat yang sedang diuji.

Walaupun, bencana itu berlaku di Indonesia, mesejnya relevan untuk Malaysia dan seluruh rantau ini.

Dalam saat musibah melanda, kemanusiaan perlu mengatasi ego, dan kebajikan rakyat mesti sentiasa menjadi keutamaan.

Sejarah turut membuktikan semangat saling membantu bukan sesuatu yang asing dalam rakyat Malaysia meskipun berbeza fahaman politik dan sebagainya.

Ketika bencana melanda, perbezaan tersebut sering diketepikan demi nilai kemanusiaan yang lebih besar.

Sebagai contoh, Selangor pernah menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir lumpur akibat fenomena kepala air di Yan pada 2021, sebelum Kedah pula membalas budi apabila banjir melanda Selangor.

Semangat timbal balik ini mencerminkan keutuhan nilai kemanusiaan dalam kalangan rakyat.

Pada tahun-tahun seterusnya, rakyat Malaysia dari pelbagai negeri terus memperlihatkan tahap keprihatinan dan semangat kemanusiaan yang tinggi terhadap mangsa bencana, meskipun musibah itu tidak berlaku di negeri mereka.

Justeru, kemanusiaan wajar menjadi nilai teras yang mengatasi segala pertimbangan lain, tanpa dibatasi sempadan, perbezaan mahupun sentimen, kerana dalam saat musibah, nilai kemanusiaan itulah yang menyatukan dan memberi makna sebenar kepada keprihatinan sejagat.