KOTA BHARU - Penjenayah kini dikesan semakin licik apabila menjadikan kediaman, premis perniagaan atau kerajaan yang tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) sebagai sasaran utama.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, taktik itu dikenal pasti hasil analisis dan kajian pihaknya berpandukan kepada statistik jenayah pecah rumah dan premis sejak Januari hingga bulan lalu.
"Sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak 403 kes pecah masuk dilaporkan di seluruh negeri, dengan 308 kes atau lebih 76 peratus berlaku di kediaman serta premis yang tidak mempunyai CCTV.
“Sebaliknya, hanya 95 kes melibatkan premis atau kediaman yang dilengkapi CCTV, sekali gus membuktikan kehadiran sistem pemantauan itu mampu mengurangkan risiko jenayah,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Khamis.
Mohd Yusoff menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya memperluaskan pemasangan CCTV di kawasan tumpuan awam, perumahan dan zon berisiko tinggi sebagai langkah pencegahan awal.
Katanya, setakat ini terdapat kira-kira 1,984 premis di Kelantan yang dilengkapi CCTV, merangkumi premis kesihatan, institusi pendidikan, pejabat pentadbiran, premis perniagaan, masjid, institusi kewangan, stesen minyak serta lain-lain kemudahan awam.
“Selain usaha PBT, pemilik premis dan kediaman juga disaran mengambil inisiatif memasang CCTV di harta masing-masing bagi mengekang jenayah daripada terus berleluasa.
“Bagaimanapun, CCTV yang dipasang mestilah berkualiti dan berfungsi dengan baik supaya dapat membantu siasatan polis sekiranya berlaku kejadian jenayah,” katanya.