KUANTAN – Dakwaan berhubung kelewatan agihan makanan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang tular di media sosial tidak menggambarkan keadaan sebenar di lapangan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengakui terdapat sedikit kelewatan di beberapa lokasi penempatan, namun ia berlaku dalam tempoh yang munasabah dan tidak menjejaskan kebajikan mangsa.
“Itu satu perkara (kelewatan makanan) yang sangat subjektif... Kadang-kadang jam 1.30 petang sudah dikatakan lambat.
“Saya tidak menafikan ada sedikit kelewatan tetapi dalam keadaan hujan dan proses pemindahan yang kelam-kabut, perkara itu tidak dapat dielakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Jaya Gading, di sini pada Khamis.
Terdahulu, tular satu hantaran memaparkan rayuan bantuan makanan bagi mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SMK Mat Kilau, Kuantan.
Hantaran tersebut menarik perhatian ramai kerana menyatakan bahawa sehingga waktu itu, mereka masih belum menerima sebarang bantuan sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan netizen mengenai kebajikan mangsa di sana.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy menegaskan bahawa semua mangsa menerima makanan seperti biasa.
“Saya tidak dengar cerita ada yang tunggu sehingga jam 7 malam baru dapat makan.
“Kalau ada kelewatan pun, mungkin satu jam atau satu setengah jam sahaja tetapi yang pastinya makanan sudah sampai,” jelasnya.
Wan Rosdy turut menegaskan bahawa kerajaan negeri telah membuat persediaan awal melalui beberapa mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana bagi memastikan kebajikan mangsa terjaga.
Beliau memaklumkan, hasil tinjauan dan maklum balas secara langsung daripada mangsa mendapati tiada aduan serius berkaitan makanan.
“Saya tanya sendiri mangsa, ‘dah makan?’ Mereka kata dah makan. Tak ada yang kata tidak makan atau tidak menerima makanan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Wan Rosdy meminta orang ramai supaya tidak menularkan maklumat yang boleh menimbulkan salah faham dan kegusaran dalam kalangan keluarga mangsa.
“Dalam keadaan begini, sepatutnya kita beri sokongan moral, galakan dan kerjasama, bukannya menularkan perkara yang tidak mendatangkan faedah serta boleh mewujudkan keadaan tidak harmoni,” katanya.
Setakat ini, hampir 9,000 mangsa daripada lebih 3,000 keluarga telah ditempatkan di PPS di lima daerah iaitu Jerantut, Kuantan, Pekan, Rompin dan Maran.