SHAH ALAM - Kerajaan disaran supaya mengambil pendekatan rasional dan menyeluruh demi memastikan sistem pendidikan negara kekal berteraskan kepentingan nasional dan pembinaan identiti kebangsaan.
Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) perlu ditangani secara berprinsip tanpa dipengaruhi tekanan atau hujah yang beremosi daripada mana-mana pihak.
Menurutnya, sekolah yang menawarkan UEC pada asasnya merupakan institusi pendidikan swasta yang berada di luar sistem pendidikan kebangsaan dan tidak tertakluk sepenuhnya kepada syarat utama, termasuk kewajipan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar serta pematuhan kepada kokurikulum kebangsaan.
“Sekiranya mereka mahukan pengiktirafan, sepatutnya mereka menyertai sistem pendidikan negara. Tidak wajar berada di luar sistem tetapi pada masa sama menuntut manfaat yang disediakan kepada institusi dalam sistem.
“UEC atau sekolah Cina ini, mereka tahu mereka berada di luar sistem. Bagi saya, baik kekal sahaja pada status quo itu, tidak perlu memohon diiktiraf dan sebagainya.
“Kalau boleh, jangan kacau sistem dan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) kami,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai panelis pada Wacana Sinar ke-484 bertajuk UEC: Apa solusi di sebalik kontroversi? di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
Program yang dihoskan oleh Ismail Adnan itu turut menampilkan Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros sebagai panelis.
Kok Seong berkata, Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan negara lain yang membenarkan pelbagai sijil pendidikan bagi kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) memandangkan negara ini berskala kecil dan perlu memberi keutamaan kepada laluan pendidikan sedia ada seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Meskipun hanya menggunakan SPM dan STPM, kita dapati masih ramai pelajar tempatan gagal memperoleh tempat di IPTA.
“Jika kita buka syarat itu kepada sijil pendidikan lain, sudah tentu ia akan memberi kesan lebih buruk kepada anak bangsa kita,” ujarnya.
Beliau turut menyarankan agar kerajaan menilai kedudukan sekolah Cina, termasuk dari segi tahap penggunaan Bahasa Melayu dan unsur integrasi dalam proses pembelajaran sekolah berkenaan.
“Bahasa Melayu tidak seharusnya dipelajari sekadar untuk tujuan instrumental. Ia perlu menjadi sebahagian daripada proses pembelajaran yang bersifat integratif bagi membina identiti kebangsaan,” katanya.