5,000 sertai Music Night Run 3KM sempena VMY2026 di Pavilion Bukit Bintang

Iklan
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) hadir memeriahkan Visit Malaysia Year 2026 (VMY2026) di Pavilion Bukit Bintang. Turut serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

KUALA LUMPUR - Seramai 5,000 peserta daripada pelbagai latar belakang usia, kaum dan negara menyertai Music Night Run 3KM sempena Visit Malaysia Year 2026 (VMY2026) yang berlangsung meriah di Pavilion Bukit Bintang pada Ahad.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Tourism Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu merupakan inisiatif nasional yang menggabungkan amalan gaya hidup sihat, hiburan serta pemerkasaan pelancongan berasaskan budaya dan komuniti.

Iklan
Iklan

Larian sejauh 3 kilometer itu dilepaskan tepat jam 6 petang, sekali gus menceriakan suasana bandar raya Kuala Lumpur dengan penyertaan masyarakat berbilang kaum, termasuk peserta dari luar negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, penganjuran program tersebut mencerminkan pendekatan progresif negara dalam membangunkan sektor pelancongan secara holistik dan inklusif.

Iklan

“Penganjuran Program Larian Visit Malaysia Year 2026 (VMY2026) merupakan sebuah inisiatif nasional yang menggabungkan amalan gaya hidup sihat, semangat kebersamaan serta pemerkasaan pelancongan berteraskan budaya dan komuniti,” katanya.

Menurut beliau, program seumpama itu bukan sahaja menggalakkan kesejahteraan fizikal dan mental, malah menjadi wadah penyatuan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, budaya dan latar belakang, sejajar dengan aspirasi pembinaan negara Malaysia Madani.

Iklan

Beliau berkata, selaras dengan matlamat VMY2026, program berkenaan turut memperkukuh usaha kementerian dalam mempromosikan pelancongan berasaskan pengalaman, di mana pengunjung bukan sekadar melawat destinasi, tetapi turut berinteraksi dengan komuniti setempat serta menghayati nilai kemasyarakatan dan warisan negara.

Selain larian, program berkenaan turut menampilkan 100 penari kebudayaan, 500 pendikir serta persembahan mewakili 14 budaya, sekali gus menjadikannya medium pendidikan sosial yang menyemai rasa cinta terhadap warisan budaya dan memperkukuh jati diri kebangsaan, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak penganjur, rakan strategik, pihak berkuasa tempatan serta para peserta yang menjayakan program berkenaan.

“Semoga inisiatif seperti ini terus diperkasakan sebagai pemangkin kepada kejayaan Visit Malaysia Year 2026, sekali gus menyumbang kepada pembinaan sebuah negara yang bersatu, berbudaya dan sejahtera,” katanya.

Program larian itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim.

Program tersebut turut melengkapkan agenda pelancongan hari ini selepas penganjuran KL10K pada sebelah pagi, manakala pada sebelah malam, orang ramai dihiburkan dengan sebuah konsert istimewa yang menampilkan artis popular tanah air seperti Bella Astillah dan IAMNEETA.