Merungut kos sara hidup tinggi tapi galak berbelanja

Iklan
Ramai yang sanggup berbelanja besar untuk makan di luar, walaupun tahu kosnya lebih mahal daripada yang dimasak di rumah. Gambar hiasan

MERAK Jalanan tersenyum melihat sikap segelintir manusia yang 'cakap tak serupa bikin'. Di media sosial, ramai merungut kos sara hidup semakin menghimpit, harga barang naik mendadak, gaji tidak seiring perbelanjaan.

Namun dalam masa sama, di media sosial, penuh gambar-gambar food hunting, queue panjang di luar kafe hipster dan keterujaan menikmati pelbagai menu baharu.

Iklan
Iklan

Lihat sahaja fenomena Khairul Aming dan restoran pertamanya, Rembayung. Walaupun belum beroperasi, sambutan yang diterima amat luar biasa. Media sosial dibanjiri komen dan netizen meluahkan perasaan 'tak sabar nak cuba'.

Merak Jalanan bukan menafikan kebanggaan rakyat pada pencapaian usahawan tempatan ini tetapi sedarkah kita bahawa ramai yang gemar mengamalkan gaya hidup makan di luar setiap hari, namun mengeluh tentang kenaikan kos barang runcit dan tekanan kewangan?

Iklan

Ironinya, ramai dalam kalangan kita sanggup berbelanja besar untuk makan di luar, walaupun kita tahu kosnya lebih mahal daripada yang dimasak di rumah.

Sarapan di kafe, makan tengah hari di restoran, makan malam pula healing bersama rakan. Hujung minggu pula food hunting. Setiap hari ada alasan untuk berbelanja.

Iklan

Gaya hidup mestilah selari dengan kemampuan kewangan individu. Tidak salah sesekali makan di luar untuk meraikan detik istimewa tetapi jika ia menjadi rutin harian yang mengorbankan simpanan dan kestabilan kewangan, ia sudah menjadi masalah.

Disiplin berbelanja adalah benteng terakhir. Merungut soal kos sara hidup boleh sahaja, tetapi berjimat dan bijak berbelanja itulah yang menentukan sama ada kita wujud dalam kehidupan seimbang atau sekadar hidup mengejar trend sambil dompet merintih.