Jalan runtuh: Laluan Aring 8–Kenyir ditutup kepada semua kenderaan

Iklan
Keadaan jalan runtuh di laluan Aring 8–Kenyir susulan hakisan tanah.

HULU TERENGGANU – Laluan Jalan Aring 8–Kenyir–Kuala Jeneris (FT0036) ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan berikutan kejadian tanah runtuh yang berlaku awal Rabu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, insiden itu dikesan kira-kira jam 7 pagi di Seksyen 71.1 berhampiran Santuari Gajah Sungai Deka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, runtuhan tersebut melibatkan kawasan sepanjang kira-kira 40 meter dengan lebar 15 meter menyebabkan laluan berkenaan tidak selamat untuk dilalui oleh semua jenis kenderaan.

"Hakisan tanah pada permukaan dinding culvert (gelung konkrit) dipercayai berlaku akibat arus deras air susulan hujan lebat berterusan.

Iklan

"Keadaan itu menyebabkan runtuhan di tepi dan bawah culvert dan laluan ini ditutup sepenuhnya demi keselamatan pengguna jalan raya," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Sharudin berkata, jalan berkenaan merupakan satu-satunya laluan utama ke Santuari Gajah Sungai Deka dan sebarang kelewatan pembaikan boleh menjejaskan bekalan minyak bagi kegunaan penjana elektrik di pusat tersebut.

Iklan

Laluan Jalan Aring 8–Kenyir ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan.

Beliau berkata, sebagai langkah awal, pihak berkuasa berkaitan telah memasang Pelan Pengurusan Trafik (TMP) serta penghadang konkrit di lokasi kejadian bagi mengelak sebarang risiko tambahan.

"Pemantauan berterusan turut dijalankan oleh pasukan RCSB daripada semasa ke semasa bagi memastikan keadaan terkawal," katanya.

Menurutnya, Notis Kecemasan (NOE) telah dihantar kepada pihak berkaitan bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dilaksanakan dengan segera.

Dalam pada itu, katanya, pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif iaitu Sungai Tong–Jerteh–Kuala Krai–Aring 8 hingga kerja-kerja pembaikan selesai sepenuhnya.

"Orang ramai dinasihatkan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelak insiden tidak diingini,"katanya.