Penduduk Kampung Pengkalan Ajal tubuh skuad sukarelawan bantu mangsa banjir

Iklan
Mohd Nazrul Fadli (kanan) menaiki bot bersama anaknya untuk ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki air dalam gelombang kedua banjir di Terengganu.

HULU TERENGGANU – Pengalaman berdepan bencana banjir saban tahun mendorong penduduk Kampung Pengkalan Ajal di sini menubuhkan Skuad Sukarelawan Banjir (SSB) yang akan digerakkan setiap kali tiba musim tengkujuh.

Ketua SSB, Alias Abdullah, 56, berkata, pasukan yang dianggotai seramai 60 penduduk setempat itu dibantu oleh 22 buah bot gentian kaca milik penduduk yang berdaftar sebagai sukarelawan bagi membantu kerja-kerja pemindahan mangsa banjir.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kebanyakan penduduk kampung memiliki bot gentian kaca sendiri dan kemudahan itu digunakan sepenuhnya bagi memindahkan penduduk ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila kawasan kampung ditenggelami air.

“Skuad ini berperanan mengangkut mangsa banjir dalam kalangan penduduk setempat untuk dibawa ke balai raya yang dijadikan PPS.

Iklan

“Selain itu, ahli skuad turut bertindak sebagai pemantau keselamatan rumah-rumah yang ditinggalkan penduduk sepanjang tempoh mereka berlindung di PPS,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Alias berkata, skuad berkenaan akan membantu memindahkan mangsa banjir secepat mungkin sebaik sahaja banjir melanda kawasan kampung, selain berperanan sebagai 'mata-mata' keselamatan.

Iklan

“Proses pemantauan dilihat lebih berkesan apabila dilaksanakan oleh penduduk sendiri yang arif dengan selok-belok kampung.

“Bagi misi menyelamat pula, sukarelawan akan dibahagikan kepada lima zon di dalam kampung dan aspek keselamatan sentiasa diberi penekanan ketika operasi pemindahan dijalankan.

“Setiap bot hanya dibenarkan membawa tiga penumpang selain pemandu dan seorang pembantu bagi memastikan keselamatan semua pihak,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Mohd Nazrul Fadli Mat Daling, 39, berkata, inisiatif yang digerakkan penduduk sejak lebih tiga tahun lalu itu banyak membantu mereka yang berdepan bencana banjir saban tahun.

Katanya, langkah tersebut memudahkan urusan pemindahan tanpa perlu menunggu bantuan luar memandangkan kebanyakan penduduk memiliki bot sendiri.

“Penduduk kampung di sini sudah lali dengan bencana banjir yang berlaku saban tahun, terutama setiap kali menjelang musim tengkujuh.

“Dengan adanya skuad ini, ia memberi kelegaan kepada penduduk terjejas. Bagi mereka yang tidak mempunyai bot, mereka tidak perlu risau kerana ahli SSB akan datang membantu,” katanya.

Menurutnya, selain mengaktifkan SSB, penduduk turut mengamalkan kaedah penyaluran maklumat paras air dari hulu ke hilir sungai bagi memastikan kesiapsiagaan awal.

Tambahnya, kebiasaannya Kampung Lubuk Periuk dan Kampung Peneh di bahagian hulu akan dilanda banjir terlebih dahulu sebelum limpahan air bergerak ke Kampung Menerong dan seterusnya ke Kampung Pengkalan Ajal.

“Saluran maklumat awal dari kawasan hulu amat penting bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan terjejas.

“Penduduk kampung di bahagian hulu akan memaklumkan keadaan paras sungai kepada penduduk di sepanjang jajaran sungai hingga ke hilir.

“Kaedah ini lebih cepat dan berkesan bagi membolehkan penduduk membuat persiapan awal untuk berpindah,” katanya.