SEREMBAN - Remaja bawah umur yang memandu Honda Jazz secara berbahaya hingga menyebabkan tiga maut dalam kemalangan di Senawang, 6 Mac lalu, menukar pengakuan kepada bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.
Lelaki berusia 17 tahun itu membuat pengakuan terbabit di hadapan Majistret, Nurul Azuin Mohd Talhah ketika pertuduhan dibacakan semula ketika prosiding pengurusan kes.
Bagaimanapun hukuman terhadap tertuduh akan diputuskan pada 25 Februari depan untuk fakta kes dan penyediaan laporan akhlak.
Ketika didakwa di mahkamah pada 22 April lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah dan peguamnya, Johan Radzi memberitahu akan mengemukakan permohonan representasi.
Bagaimanapun pada 19 November lalu, Timbalan Pendakwa Raya, P Rubini memaklumkan yang Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menolak representasi tersebut.
Mengikut pertuduhan, tertuduh memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, Muhammad Aswari Lotpi, 16, dan Aisar Azim Abdullah, 17.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang jam 8.30 malam di lampu isyarat Jalan Persiaran Senawang 1, Taman Matahari Heights di sini pada 6 Mac lalu.
Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.
Dalam prosiding pada Rabu, tertuduh diwakili peguam, Arif Azmi.
Sebelum ini media melaporkan, Honda Jazz dipandu remaja lelaki itu gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah lalu melanggar dua motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.
Muhammad Aidil Ramdan dan Muhammad Aswari disahkan maut di lokasi kejadian manakala Aisar Azim meninggal dunia ketika sedang dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar di sini pada 10 Mac.