SEREMBAN – Sebuah kedai nasi kandar di daerah ini didakwa membasuh lebihan makanan yang telah dihidangkan kepada pelanggan sebelum digunakan semula pada keesokan harinya.
Kejadian meloyakan itu dikongsi seorang pengguna media sosial yang mendakwa menyaksikan sendiri perbuatan berkenaan di belakang premis terbabit pada jam 12.18 tengah malam pada Selasa.
"Saya melihat seorang pekerja sedang mencuci baki makanan seperti daging ayam, daging kambing, tauhu yang jelas merupakan lebihan masakan, kemudian diasingkan ke dalam dulang," katanya.
Dia memberitahu telah menegur perbuatan pekerja tersebut dan dimaklumkan yang baki makanan terbabit dicuci untuk digunakan semula pada keesokan hari.
Menurutnya, perkara itu tidak boleh diterima dan sangat membahayakan kesihatan orang awam.
"Pada mulanya, rakan pekerja lain cuba mengelirukan saya dengan jawapan yang tidak jujur, namun akhirnya tersasul dan mengaku bahawa makanan tersebut memang akan dimasak semula dan dikatakan 'tidak bahaya'.
"Saya ingin tegaskan bahawa perbuatan ini langsung tidak beretika, tidak selamat, dan sangat menjijikkan," katanya.
Ujarnya lagi, dia berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kerana percaya yakin perbuatan seperti itu bukan kali pertama dilakukan oleh pekerja kedai tersebut.
"Mohon orang ramai kongsi hantaran ini supaya lebih ramai sedar dan kejadian sebegini tidak terus berlaku serta membahayakan pengguna lain," katanya.
Sementara itu Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Zuraida Mohamed dihubungi Sinar Harian memaklumkan akan mengarahkan pegawainya menyiasat dakwaan tersebut.