ANDA pernah mendengar istilah ‘3-ta’? Saya pertama kali mendengar istilah ‘3-ta’ ini oleh mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Almarhum Sahibus Samahah Datuk Hj Md Hashim Hj Yahya.
Mungkin beliau bukan pertama mengungkapkan istilah itu tapi ia amat berbekas dalam ingatan saya.
‘3-ta’ itu adalah singkatan kepada tiga perkataan iaitu ‘harta, wanita, takhta’.
Menurut kata beliau, ‘3-ta’ ini adalah perkara sering dan sentiasa diburu manusia sejak dulu.
Hal ini membawa pula kepada dua sifat ‘tamak’ dan ‘sombong’. Kedua-dua sifat ini pula boleh mendorong dua perbuatan iaitu ‘fitnah’ dan ‘rasuah’.
Dalam penulisan ini, saya ingin menyentuh secara khusus tentang ‘Rasuah’.
Perbuatan jijik ini telah wujud sejak lama. Rasuah secara asasnya berpunca daripada sifat tamak dan sombong dalam diri seseorang.
Kedua-dua sifat ini jika dikuasai nafsu diri dan hasutan syaitan menyebabkan individu tersebut berbuat apa sahaja dalam mengejar ‘3-ta’ dicintainya secara berlebihan.
Sifat tamak, ingin mendapat dan mengumpulkan sebanyak mungkin harta, lalu ingin mencari dan mendampingi seramai mungkin wanita.
Ditambah pula sifat sombong dan ingin memiliki kuasa (takhta) yang tiada batasnya supaya dapat berbuat apa diingininya tanpa halangan.
Sifat tamak dan sombong ini ada pada kedua-dua pemberi dan penerima rasuah.
Si pemberi merasuah untuk kepentingan tamak menambah harta dan mendapat wanita serta sombong ingin memiliki kuasa.
Si penerima rasuah pun begitu juga. Yang tamak rela mendapat harta dan wanita secara yang salah, serta yang sombong rela menyalahgunakan kuasa demi nafsu haloba.
Akibat rasuah bukan kecil-kecilan. Menyorot sejarah sepanjang 50 tahun lalu, terdapat banyak krisis dan kejatuhan pemimpin negara serantau terkait dengan rasuah.
Sejarah mencatatkan antara penyebab kejatuhan Presiden Soeharto pada 1998 adalah gejala rasuah membarah sehingga ekonomi Indonesia tidak dapat bertahan dengan krisis kewangan Asia 1997.
Pada 1986 di Filipina, Presiden Ferdinand Marcos digulingkan gerakan rakyat yang marah dengan kekayaan melampau sedangkan rakyat semakin menderita kemiskinan dengan cukai tinggi dan rasuah berleluasa.
Lapan tahun sebelumnya, Shah Iran terpaksa melarikan diri ke luar negara akibat revolusi rakyat.
Permulaan kemarahan rakyat Iran ketika itu adalah perbelanjaan mewah negara terutama ke negara asing sedangkan rakyat hidup melarat, rasuah berleluasa, kadar inflasi melonjak tinggi diikuti jurang antara kaya dan miskin membesar.
Melangkau lebih jauh sejarah Tanah Melayu dan Nusantara, kejatuhan Kesultanan Melaka dikatakan ekoran sogokan wang dan hadiah tentera Portugis kepada pegawai tertentu di Istana Sultan Melaka.
Kegiatan rasuah ini terus wujud sehingga era pemerintahan British menyebabkan pentadbiran British menguatkuasakan undang-undang rasuah pada 1871 dalam Kanun Keseksaan.
Penyakit rasuah masih belum sembuh hingga kini di negara kita, Malaysia yang tercinta.
Antara kes besar terkini dibuktikan adalah pada 20 November lalu apabila bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada bekas menteri disabitkan lapan kesalahan tuduhan rasuah.
Rasuah tersebut dilaporkan berlaku sekitar hujung 2018 hingga awal 2019.
Rasuah harus dibanteras sebersih mungkin. Antara tindakan penyelesaian perlu dilakukan adalah melalui pendekatan 3E iaitu Education (Pendidikan), Environment (Persekitaran) dan Enforcement (Penguatkuasaan).
Pendidikan kesedaran masyarakat terhadap bentuk, ciri dan bahaya rasuah perlu ditingkatkan. Persekitaran sosioekonomi yang aman sejahtera serta mencegah/menutup ruang dan peluang perbuatan rasuah perlu diwujudkan.
Pihak berkuasa dengan sokongan masyarakat keseluruhannya perlu bertindak menguatkuasakan peraturan dan undang-undang berkaitan agar tiada ruang untuk rasuah dapat dilakukan.
Cegah rasuah, bina negara. Moga Malaysia maju jaya.
*Muhamad Munawer Ismail Penolong Setiausaha IKRAM Kuala Lumpur Penyelaras Strategik Gabungan Dakwah Malaysia