Lelaki miliki tanduk rusa dijel 10 bulan

Iklan
Tertuduh dipenjara 10 bulan selepas mengaku bersalah memiliki tanduk rusa di Mahkamah Sesyen Sandakan.

SANDAKAN – Seorang lelaki dihukum penjara selama 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah memiliki dua pasang tanduk rusa, iaitu haiwan yang dilindungi di negeri ini.

Tertuduh, Akbar Ahmad, 35, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Roslinda Razali.

Iklan
Iklan

Menurut kertas pertuduhan, tertuduh pada jam 4.15 petang, 10 Disember lalu, di sebuah rumah pekerja di kawasan estet di Kinabatangan, di mana dia didapati memiliki dua pasang tanduk rusa, iaitu haiwan daripada spesies yang dilindungi dalam Jadual 3 Nombor 9 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, tanpa memiliki apa-apa kebenaran yang sah.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah subseksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 41(4)(c) enakmen yang sama, iaitu boleh didenda tidak kurang daripada RM30,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Iklan

Sementara itu, menurut fakta kes, dalam Operasi Bersepadu Khazanah yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa telah menemui tanduk rusa itu yang digantung di pintu bilik rumah dan dinding ruang tamu rumah suspek.

Kedua-dua tanduk rusa itu kemudian dirampas dan tangkapan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.

Iklan

Sebelum itu, pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Primus Lambut, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.