JOHOR BAHRU - Polis sedang mengesan seorang pemandu e-hailing yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap penumpang wanita susulan penularan sebuah video di media sosial.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian berkenaan.
Iklan
Iklan
Menurutnya, polis mengesan satu video tular di media sosial yang memaparkan kejadian dipercayai gangguan seksual terhadap seorang wanita di dalam sebuah kenderaan dipandu lelaki berkenaan.
“Bagaimanapun, hasil semakan mendapati tiada laporan polis diterima setakat ini. Oleh itu, polis sedang mengenal pasti individu terlibat, saksi kejadian serta punca sebenar insiden tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terus menyebarkan video berkenaan bagi mengelakkan salah faham, spekulasi serta gangguan terhadap keharmonian masyarakat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di talian 07-218 2323 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, video berkenaan yang dipercayai dirakam oleh penumpang wanita terbabit tular di media sosial dan mencetuskan kemarahan orang ramai terhadap tindakan tidak bermoral pemandu tersebut.