KOTA TINGGI – Seorang warga emas yang dikhuatiri hilang ditemui meninggal dunia dipercayai lemas di kawasan Yard Kampung Tanjung Che Lahom, Pengerang, di sini, petang Isnin.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Rengit, Pegawai Bomba Roger Ribut berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.51 tengah hari berhubung kehilangan mangsa berusia 77 tahun itu.
"Kami dimaklumkan pihak polis tentang bot milik mangsa yang ditemui hanyut dengan enjin masih hidup, selain beberapa barangan peribadi mangsa di sekitar kawasan berhampiran kapal kuari di yard berkenaan.
"Operasi mencari dan menyelamat diketuai dengan kekuatan enam anggota, menggunakan sebuah bot aluminium serta bantuan unit dron, melibatkan pencarian di kawasan perairan yard dan sepanjang pesisiran pantai," katanya dalam kenyataan.
Jelas beliau, pada jam 7.20 malam, mangsa ditemui oleh orang awam kira-kira 200 meter dari pesisir pantai dalam keadaan tidak sedarkan diri.
"Mangsa disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.55 malam," ujarnya.