PONTIAN - Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) memaklumkan seorang daripada tiga kakitangan kontraktor yang cedera dalam insiden runtuhan dan kebakaran kren mengangkat arang batu di Loji Janakuasa Tanjung Bin, Kukup di sini pada Sabtu lalu, sudah dibenar keluar hospital.
"Dua lagi masih menerima rawatan dan berada di bawah pemantauan perubatan.
"Keadaan mereka akan terus dipantau dengan rapi," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam kejadian pada Sabtu, dua pekerja, Muhammad Alfarid Ahmad, 19, dan Muhammad Amaluddin Hisamudin, 22, meninggal dunia, manakala tiga lagi cedera dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
Mengulas lanjut, Malakoff memaklumkan pihaknya giat melaksanakan siasatan dalaman insiden terbabit dan memberitahu operasi di Loji Janakuasa Tanjung Bin berjalan seperti biasa.
"Malakoff akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta pihak berkuasa pengawal seliaan berkaitan bagi mengenal pasti punca kejadian.
"Keselamatan dan integriti operasi kami kekal sebagai keutamaan tertinggi dan kami komited terhadap ketelusan sepanjang proses ini," katanya.
Dalam pada itu, syarikat berkenaan turut menzahirkan dukacita atas kehilangan dua kakitangan kontraktor dalam insiden terbabit.